TEATER: SENI YANG DIAM DALAM RIBUT HIBURAN

 


TEATER: SENI YANG DIAM DALAM RIBUT HIBURAN

 

Pengenalan

Bidang seni persembahan, khususnya seni teater, masih belum mendapat tempat yang sewajarnya dalam arus perdana masyarakat Malaysia. Walaupun Malaysia kaya dengan tradisi seni persembahan yang pelbagai seperti bangsawan, makyong, wayang kulit, dan teater moden, namun penerimaan masyarakat terhadap bidang ini masih hambar. Secara umumnya dianggap sebagai salah satu cerminan tamadun dan budaya sesebuah negara, terdapat perbezaan ketara dari segi layanan terhadap abang seni berbeza. Ia dapat dilihat melalui pengiktirafan dan sokongan lebih kukuh dari pelbagai sudut yang diterima oleh bidang seni lain seperti muzik dan seni visual berbanding seni teater.  Muzik, contohnya, telah berkembang menjadi sebuah industri besar yang mendapat liputan meluas di media arus perdana dan media sosial. Industri muzik tanah air telah melahirkan ramai artis popular yang bukan sahaja dikenali dalam negara, malah di peringkat antarabangsa. Artis-artis muzik tempatan sering mendapat liputan meluas media, memiliki pengikut yang ramai di platform media sosial, serta menikmati peluang kerjaya yang lebih stabil melalui rakaman, persembahan pentas, siaran radio, dan penstriman digital.  Program realiti, anugerah muzik, dan platform penstriman menjadikan muzik suatu bidang yang diminati dan diidamkan ramai, terutama dalam kalangan generasi muda. Dunia muzik juga sering menjadi pilihan ramai anak muda kerana dianggap lebih "glamor", komersial, dan menjanjikan pendapatan yang lebih lumayan berbanding teater. Kerjaya sebagai penyanyi, pemuzik, atau komposer kini lebih diterima masyarakat sebagai kerjaya profesional yang menguntungkan dan glamor.

Begitu juga dengan bidang seni visual yang telah mula diterima sebagai satu komponen penting dalam sistem pendidikan negara. Ia telah lama diiktiraf sebagai subjek rasmi dalam kurikulum sekolah dan diajar secara sistematik dari peringkat rendah hingga menengah. Hal ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai nilai dan kepentingan seni visual, sekali gus membantu membina kefahaman dan apresiasi terhadap bidang ini. Galeri seni, pameran, dan aktiviti seni visual juga semakin berkembang di bandar-bandar utama sebagai platform memperkenalkan karya artis tempatan. Ini mencerminkan bagaimana sistem pendidikan mampu memberi ruang kepada seni visual untuk berkembang dan mendapat pengiktirafan sebagai satu bidang yang penting dalam pembangunan insan.

Namun situasi ini sangat berbeza bagi bidang teater. Di sekolah, teater tidak diajar secara formal sebagai mata pelajaran rasmi. Kegiatan teater hanya wujud sebagai aktiviti kokurikulum atau projek sampingan, tanpa struktur atau sokongan yang kukuh. Seni teater kaya dengan nilai estetika, budaya, dan intelektual tetapi sering dipinggirkan. Ia jarang diberi ruang dan peluang yang besar di media, kurang program berbentuk realiti atau hiburan yang mempromosikan bakat lakonan pentas, dan tidak diajar secara meluas di sekolah-sekolah kebangsaan. Walaupun wujud institusi pengajian tinggi yang menawarkan kursus seni teater, graduan dalam bidang ini tetap menghadapi cabaran besar untuk mendapat tempat dalam pasaran kerja. Masyarakat masih cenderung melihat kerjaya dalam bidang ini sebagai tidak stabil, tidak menjamin masa depan, dan kurang “nilai praktikal” berbanding bidang profesional lain. Di peringkat masyarakat, persembahan teater sering berdepan dengan cabaran dari segi kehadiran penonton, dana, dan liputan media. Ramai masih beranggapan bahawa teater adalah seni yang “susah difahami”, terlalu intelektual, atau tidak relevan dengan kehidupan harian. Akibatnya, ramai bakat muda yang berminat dalam bidang ini kurang mendapat dorongan untuk meneruskan kerjaya dalam dunia seni persembahan. Situasi ini mewujudkan jurang besar dalam apresiasi (penghayatan nilai) terhadap pelbagai cabang seni di Malaysia, khususnya di antara seni teater dengan bidang seni yang lebih “mainstream” seperti muzik dan seni visual. Ketidakseimbangan ini bukan sahaja merugikan penggiat seni teater, malah memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan budaya dan identiti seni negara.

Walaupun Kerajaan telah memperuntukkan dana tertentu bagi membantu meningkatkan kegiatan berteater di Malaysia pada setiap tahun, realitinya langkah ini belum cukup berkesan untuk merangsang perkembangan seni teater dalam jangka masa panjang. Bantuan kewangan seperti Geran Seni Budaya, Dana Industri Kreatif, atau sokongan melalui agensi bukan kerajaan seperti CENDANA dan MyCreative Ventures memang memberikan sedikit ruang bernafas kepada para penggiat teater. Namun ia lebih bersifat penyelamat sementara berbanding menjadi asas kukuh yang mampu merangsang pertumbuhan industri secara mapan dan berstruktur.

Pertama, sistem pengagihan dana yang terhad dan bersifat kompetitif menjadikan hanya segelintir kumpulan atau individu yang berjaya mendapatkan peruntukan tersebut. Dalam banyak kes, kumpulan teater kecil, bebas, atau yang beroperasi di luar bandar seringkali terpinggir kerana kekurangan akses, kemahiran menulis proposal, atau hubungan rangkaian yang luas. Malah, proses permohonan yang rumit dan birokrasi yang panjang kadang-kala menjadi penghalang utama kepada kelancaran projek seni. Justeru, bantuan dana yang sepatutnya memperkasa, akhirnya hanya menjadi peluang kepada pihak tertentu sahaja, manakala potensi bakat-bakat lain terus tenggelam.

Kedua, pendekatan kerajaan yang lebih bersifat projek jangka pendek tidak menyelesaikan masalah struktur industri teater itu sendiri. Sebagai contoh, dana yang diberikan biasanya hanya mencukupi untuk menampung satu atau dua pementasan sahaja, tanpa ada kesinambungan atau pelan pembangunan jangka panjang. Tiada skim khusus yang menyasarkan pembinaan kapasiti seperti latihan juru teknikal, sutradara muda, atau program pendidikan khalayak. Begitu juga, tiada usaha menyeluruh untuk membina rangkaian produksi, pengedaran, atau pemasaran secara sistematik yang boleh memastikan pementasan itu sampai kepada penonton secara meluas dan berterusan.

Ketiga, tiada strategi menyeluruh yang menyelaraskan ekosistem seni teater dengan dasar pendidikan, pelancongan, atau pembangunan komuniti. Seni teater sering berdiri sendiri, terpisah daripada sektor lain yang sepatutnya boleh bekerjasama secara sinergi. Sebagai contoh, teater tidak dijadikan sebahagian daripada kurikulum sekolah secara rasmi, menyebabkan kesedaran dan minat terhadap teater sukar dipupuk dari usia muda. Selain itu, kurangnya insentif kepada pihak swasta atau media untuk melibatkan diri dalam penerbitan atau penajaan pementasan turut menyukarkan usaha menjadikan seni teater sebagai industri yang boleh menjana ekonomi kreatif negara.

Akhirnya, peruntukan dana tahunan tanpa dasar jangka panjang hanyalah rawatan luaran kepada masalah dalaman yang lebih besar. Tanpa pembinaan infrastruktur fizikal (seperti ruang latihan dan pementasan komuniti), peningkatan profesionalisme tenaga kerja seni, serta usaha memupuk budaya menonton teater dalam kalangan rakyat, seni teater akan terus berada dalam keadaan yang rapuh dan bergantung sepenuhnya kepada ihsan dan dana kerajaan.

Justeru, yang diperlukan bukan semata-mata suntikan dana, tetapi satu pendekatan holistik yang melibatkan perubahan dasar menyeluruh, pendidikan yang menyokong, insentif kepada industri, serta penglibatan aktif segenap lapisan masyarakat. Hanya dengan cara ini seni teater di Malaysia dapat berkembang mapan dan dihormati sebagai sebahagian daripada ekosistem budaya negara yang hidup dan berdaya saing.

Perbandingan ini penting untuk kita memahami punca mengapa bidang seni teater terus dipandang sepi oleh masyarakat Malaysia secara umumnya. Bukan untuk menyalahkan mana-mana pihak, tetapi untuk membuka ruang perbincangan dan mencari jalan ke arah pembaharuan.

 

Sistem pendidikan di Malaysia masih belum memberikan penekanan yang kukuh terhadap seni persembahan. Di peringkat sekolah, seni sering dijadikan subjek sampingan atau elektif, bukan sebahagian daripada subjek utama. Ini menyebabkan ramai pelajar tidak mempunyai pendedahan awal terhadap nilai dan potensi bidang seni. Di universiti pula, program-program seni tidak mendapat perhatian yang sama seperti bidang profesional lain seperti sains, teknologi atau kejuruteraan. Bilangan guru terlatih yang rendah dalam seni teater serta sumber pembelajaran yang terhad turut menyumbang kepada kekurangan kesedaran dan apresiasi terhadap bidang ini.

Seni teater sering terperangkap dalam stereotaip bahawa ia adalah kerjaya yang tidak stabil dan menjamin masa depan. Ramai ibu bapa dan masyarakat menganggap penglibatan dalam bidang ini sebagai satu kerja “main-main” atau tidak serius. Persepsi ini timbul akibat kurangnya pemahaman tentang sumbangan seni teater kepada pembangunan emosi, sosial dan ekonomi sesebuah masyarakat. Akibatnya, anak muda yang berbakat tidak digalakkan untuk meneroka bidang seni khususnya teater secara profesional kerana dianggap tidak membawa kejayaan hidup.

Sokongan kerajaan terhadap pembangunan seni teater dilihat masih lemah dari sudut dana, insentif dan penyediaan peluang kerjaya. Bajet untuk program seni teater sering kali dipotong dan kurang diberikan keutamaan berbanding sektor lain. Tambahan pula, tiada dasar jangka panjang yang kukuh bagi mewujudkan laluan kerjaya tetap dan stabil dalam industri seni teater. Ramai graduan seni teater akhirnya beralih kepada pekerjaan lain kerana tidak mampu menampung kos sara hidup melalui kerja-kerja berteater semata.

Industri seni teater di Malaysia masih bergantung kepada sistem projek jangka pendek atau kerja secara bebas (freelance). Ini menyebabkan penggiat seni teater berdepan dengan ketidaktentuan pendapatan dan kekurangan faedah pekerjaan seperti KWSP, PERKESO, atau cuti berbayar. Struktur industri yang tidak mapan juga menyebabkan tiada laluan kerjaya yang jelas dari peringkat permulaan hingga profesional, menjadikan bidang ini sukar untuk dijadikan kerjaya jangka panjang secara berstruktur.

Liputan media terhadap seni persembahan secara umumnya lebih cenderung tertumpu kepada aspek sensasi artis atau gosip peribadi berbanding nilai seni itu sendiri. Program berkualiti tinggi dalam seni persembahan jarang diberikan slot utama di saluran arus perdana. Kurangnya promosi dan dokumentasi mengenai acara seni membuatkan khalayak awam tidak menyedari kewujudan atau kepelbagaian seni persembahan tempatan. Ini menyukarkan usaha untuk meningkatkan penglibatan masyarakat dan menjadikan ia sebagai budaya arus perdana.

Globalisasi dan penyebaran budaya popular luar seperti K-pop, Hollywood, dan kandungan media sosial seperti TikTok telah menguasai minat generasi muda. Seni teater dianggap tidak “trending” atau ketinggalan zaman. Dominasi budaya luar ini menyebabkan masyarakat kurang menghargai produk seni tempatan khususnya teater yang mempunyai nilai sejarah, identiti, dan estetika tersendiri. Tanpa strategi penyesuaian dan inovasi, seni teater di Malaysia akan terus tenggelam dalam persaingan global.

Tahap penglibatan masyarakat dalam aktiviti seni teater masih rendah. Ramai yang masih belum pernah menyaksikan persembahan teater secara langsung. Keadaan ini telah mewujudkan jurang antara penggiat seni dan masyarakat umum. Selain itu, seni teater sering dilabel sebagai aktiviti eksklusif golongan tertentu atau mereka yang “berjiwa halus.” Persepsi ini menjauhkan masyarakat daripada seni, sedangkan seni seharusnya bersifat inklusif dan dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

Berikut adalah cadangan-cadangan bagi mengatasi setiap isu bagi mengelakkan bidang seni teater dari terus dipandang sepi di Malaysia

Pendidikan seni teater harus diperkasa di semua peringkat sebagai satu komponen penting dalam pembangunan insan yang seimbang. Seni teater tidak wajar dilihat sekadar subjek elektif, tetapi perlu dijadikan subjek teras yang diajar secara sistematik dan menyeluruh. Bagi memastikan pengajaran yang berkualiti, bilangan guru seni teater yang terlatih dan berkelayakan mesti ditambah, disertai latihan berterusan dan pembangunan profesional. Kurikulum seni teater juga harus disesuaikan agar lebih relevan, menyeronokkan, serta mencerminkan identiti dan konteks tempatan agar pelajar lebih mudah mengaitkan diri mereka dengan seni tersebut. Di peringkat pendidikan tinggi, universiti wajar menyediakan lebih banyak peluang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang seni persembahan khususnya teater agar wacana akademik seni berkembang dan menjadi platform penting dalam pembentukan dasar serta amalan seni negara.

Persepsi masyarakat yang memandang rendah kerjaya seni teater sebagai tidak stabil dan tidak menjanjikan masa depan perlu dicantas. Untuk mengubah stereotaip ini, kempen kesedaran awam perlu dijalankan secara konsisten untuk memperlihatkan nilai sebenar seni teater dalam membentuk jati diri, empati, dan keupayaan intelektual seseorang. Selain itu, penglibatan tokoh seni teater yang berjaya di dalam program motivasi atau forum kerjaya dapat membuka mata masyarakat bahawa seni teater juga adalah sebuah bidang profesional yang mempunyai potensi besar. Pendedahan awal kepada dunia seni teater di sekolah dan dalam komuniti juga penting untuk membina generasi yang lebih terbuka dan menghargai seni dari usia muda lagi. Seni teater perlu dibawa lebih dekat ke dalam masyarakat agar tidak lagi dianggap hanya untuk golongan tertentu. Salah satu caranya ialah dengan menganjurkan program seni secara percuma atau berkos rendah di ruang awam seperti taman, balai raya dan sekolah. Program seni komuniti yang menyasarkan semua peringkat umur dapat memperluaskan akses dan kecintaan terhadap seni serta membina masyarakat yang lebih inklusif. Lebih penting lagi, penglibatan masyarakat dalam proses penciptaan seni seperti bengkel atau latihan lakon langsung, akan menjadikan mereka sebahagian daripada ekosistem seni itu sendiri. Seni teater harus dipromosikan bukan sahaja sebagai hiburan, tetapi juga sebagai medium kesatuan sosial, terapi emosi dan alat pendidikan yang sangat berkesan.

 


 

 

Sokongan ekonomi yang kukuh amat diperlukan untuk menguatkan kedudukan bidang seni teater. Kerajaan harus meningkatkan peruntukan dana kepada program seni teater, sama ada di peringkat akar umbi mahupun profesional. Di samping itu, skim perlindungan sosial seperti KWSP, insurans dan faedah lain perlu diwujudkan untuk pekerja seni teater yang kebanyakannya bekerja secara bebas (freelance). Ini akan memberi jaminan keselamatan sosial dan kewangan kepada mereka. Galakan kepada sektor swasta untuk menyokong industri seni teater melalui insentif cukai atau program kerjasama juga harus diperluas. Selain itu, Malaysia perlu menggubal dan melaksanakan dasar seni kebangsaan yang menyeluruh dan progresif, merangkumi pembangunan bakat, pemeliharaan seni warisan dan penerokaan seni kontemporari.

Industri seni teater di Malaysia masih belum mempunyai struktur yang kukuh. Oleh itu, perlu ada usaha untuk menstrukturkan semula industri ini dengan mewujudkan platform rasmi seperti persatuan profesional yang mengawal selia standard kerja, serta menyediakan jaringan kerjaya yang sistematik. Satu laluan kerjaya yang jelas perlu diwujudkan dari peringkat latihan (pelajar), pemulaan, pertengahan hingga profesional, agar mereka yang menceburi bidang ini mempunyai hala tuju yang terancang. Selain itu, peluang inkubasi dan latihan berterusan sangat penting untuk penggiat muda agar mereka dapat meningkatkan kemahiran. Penubuhan koperasi seni atau studio komuniti juga mampu membantu usaha pemberdayaan penggiat seni dalam menjana pendapatan secara kolektif.

Media juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap seni teater. Oleh itu, media harus digalakkan untuk menghasilkan kandungan berkualiti tinggi yang mampu mengangkat nilai seni teater tempatan, bukan hanya menumpukan kepada isu sensasi semata-mata. Kerajaan boleh menawarkan insentif kepada syarikat produksi yang mengetengahkan karya seni teater dengan pendekatan mendidik dan membina. Selain itu, penglibatan pempengaruh atau influencer dan pencipta kandungan digital dalam mempromosikan seni teater perlu digiatkan bagi menarik golongan muda di media sosial. Penubuhan saluran tetap di televisyen atau platform penstriman tempatan khusus untuk seni teater juga boleh membuka lebih banyak ruang untuk tontonan awam dan pengiktirafan karya seni tempatan.

Media sosial ialah alat yang sangat berpotensi dalam usaha membudayakan semula seni tempatan dalam kehidupan golongan muda. Kandungannya harus relevan, mudah dikongsi, dan konsisten, disesuaikan dengan bahasa visual dan psikologi pengguna muda bagi memastikan ia berjaya. Kuncinya adalah kreativiti, keterlibatan, dan ketulenan. Media sosial seperti Instagram, TikTok, YouTube, dan X (Twitter) merupakan medium utama yang digunakan oleh golongan muda hari ini. Seni teater yang dipersembahkan melalui cara konvensional kadang kala dilihat tidak relevan atau tidak menarik perhatian generasi muda kerana persembahannya tidak selari dengan gaya komunikasi visual yang sering mereka lihat. Oleh itu, penting untuk penggiat seni teater memanfaatkan platform digital ini dengan pendekatan yang segar, pendek, menarik dan mudah diakses. Pendekatan visual berimpak tinggi seperti penggunaan warna yang menarik, montaj video pendek, animasi, dan suntingan gaya sinematik boleh menjadikan seni teater lebih menggoda perhatian. Contohnya, klip 15 saat tentang latihan teater atau rakaman di balik tabir yang dimuat naik ke TikTok dengan muzik popular boleh mencipta sambungan emosi dan rasa ingin tahu dalam kalangan pengguna muda. Golongan muda lebih suka naratif ringkas tetapi bermakna. Maka, persembahan seni teater boleh dikembangkan dalam bentuk “episod mini” atau penceritaan bersiri, seperti kisah satu watak dalam monodrama yang diceritakan melalui beberapa video pendek di Instagram Reels atau TikTok. Ini bukan sahaja meningkatkan keterikatan emosi, malah mendorong penonton untuk mengikuti perkembangan cerita. Penglibatan influencer tempatan atau pencipta kandungan yang memiliki ramai pengikut juga dilihat boleh memperluaskan capaian seni teater kepada khalayak baharu. Mereka boleh dijemput untuk menghadiri pementasan, menyertai latihan atau mencuba teknik lakonan, lalu berkongsi pengalaman itu di platform mereka. Ini membina keterujaan serta membuka ruang dialog yang lebih luas. Begitu juga dengan mewujudkan cabaran seni atau pertandingan pendek seperti #SeniKitaChallenge di mana pengguna digalakkan untuk meniru gerak lakon atau menyampaikan dialog pendek melalui gaya persembahan masing-masing boleh meningkatkan penglibatan. Ini menjadikan seni sebagai aktiviti yang inklusif dan menyeronokkan. Gunakan penstriman langsung di Instagram Live atau YouTube untuk sesi “ask-me-anything” bersama pelakon atau sutradara, tayangan trailer, atau segmen interaktif di mana pengikut boleh memilih elemen dalam satu persembahan (contohnya muzik latar, busana, atau dialog). Ini mencipta pengalaman dua hala dan memberi rasa pemilikan kepada audiens. Infografik, "fun fact" tentang sejarah seni, atau video trivia yang menerangkan maksud simbol dalam seni teater boleh dibuat dalam gaya santai, humor dan estetik. Ini menambah pengetahuan tanpa menjadikannya membosankan.

Budaya luar seperti K-pop, Hollywood dan kandungan viral TikTok semakin mendominasi perhatian masyarakat Malaysia, menyebabkan seni teater tempatan umumnya kelihatan kurang menarik. Untuk menangani cabaran ini, bentuk seni tradisional boleh disegarkan semula dengan elemen kontemporari agar ia relevan kepada generasi baharu, tanpa mengorbankan nilai dan jati diri. Kerjasama antarabangsa dalam bentuk program residensi, pertukaran budaya dan kolaborasi seni juga harus digalakkan agar seni tempatan mendapat pendedahan yang lebih luas. Seni teater juga boleh dikembangkan sebagai produk pelancongan budaya, menjadikannya sumber ekonomi serta warisan yang dibanggakan. Malaysia kaya dengan warisan budaya pelbagai kaum, maka seni teater merupakan aset yang sangat berharga untuk dimajukan sebagai tarikan pelancongan budaya. Pelancongan budaya bukan sahaja menarik minat pelancong asing untuk mengenali identiti sesebuah bangsa, malah ia juga memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk menghargai dan merayakan warisan seni mereka sendiri. Seni persembahan teater tradisional seperti Mak Yong, Wayang Kulit, Bangsawan dan Teater Randai mempunyai nilai sejarah dan estetika yang tinggi. Di Melaka umpamanya, persembahan Bangsawan atau Teater Rakyat boleh dijadikan sebahagian daripada pakej lawatan malam ke sekitar Bandar Hilir. Begitu juga di Kota Bharu, pelancong boleh menikmati persembahan Wayang Kulit Tok Dalang yang digabungkan dengan aktiviti seni lain seperti ukiran dan permainan gasing. Jika dipersembahkan secara berkala di lokasi-lokasi tumpuan pelancong seperti Kampung Budaya di Sarawak, Pasar Seni Kuala Lumpur, atau tapak warisan UNESCO seperti George Town dan Melaka, ia boleh menjadi aktiviti wajib tonton bagi pelancong yang ingin merasai keunikan budaya tempatan. Penganjuran festival seni persembahan seperti George Town Festival, Rainforest World Music Festival atau KL International Arts Festival perlu dipergiatkan lagi kerana ia boleh menjadi platform mempromosikan seni persembahan tempatan kepada pelancong dari seluruh dunia. Festival sebegini membina ekonomi komuniti tempatan, membuka ruang kepada kerjasama antarabangsa dan memupuk rasa bangga terhadap seni sendiri.

Lokasi pelancongan seperti muzium, tapak bersejarah, atau taman budaya juga boleh menyediakan pementasan tetap yang mengangkat cerita rakyat, sejarah tempatan atau legenda negeri masing-masing, seperti di Langkawi, pementasan legenda Mahsuri boleh dijadikan persembahan malam tetap untuk pelancong dengan elemen teater, tarian, dan muzik tradisional. Begitu juga di Sabah dan Sarawak, cerita rakyat seperti Puteri Santubong, Huminodun atau ritual Kaamatan dan Gawai boleh dipersembahkan dalam bentuk dramatari moden atau muzikal etnik.

Pendekatan `Seni teater bukan sahaja boleh ditonton tetapi juga dialami secara langsung’. Sesuatu yang jarang berlaku di Malaysia. Pelancong yang berkunjung bukan sahaja boleh menonton malah boleh menyertai bengkel-bengkel pendek seperti belajar menari Zapin atau Joget, menghayati teater Randai atau Wayang Kulit dan mengikuti bengkel lakonan gaya Bangsawan atau pembacaan puisi tradisional. Ini memberi nilai tambah kepada pengalaman pelancong dan mewujudkan kenangan budaya yang mendalam, sekaligus meningkatkan nilai ekonomi aktiviti tersebut.

Jalinan kerjasama antara penggiat teater dengan agensi pelancongan, hotel, resort, dan pihak berkuasa pelancongan negeri untuk menyediakan pakej pelancongan budaya yang lengkap dengan persembahan seni teater perlu digalakkan. Ini juga boleh mewujudkan peluang pekerjaan tetap atau kontrak kepada artis dan krew produksi tempatan. Menjadikan seni teater sebagai produk pelancongan budaya adalah satu langkah strategik yang menggabungkan pemeliharaan warisan dengan pembangunan ekonomi. Ia bukan sahaja mengangkat martabat seni tempatan di mata dunia, tetapi juga mencipta pekerjaan, memperkukuh identiti nasional dan membina jaringan antarabangsa. Jika dilaksanakan dengan berstruktur dan berterusan, seni persembahan boleh menjadi antara tonggak utama pelancongan budaya Malaysia.

Secara keseluruhannya, bidang seni teater di Malaysia masih belum mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya berbanding bidang seni lain seperti muzik, filem dan seni visual. Walaupun teater merupakan medium komunikasi yang berkesan dan mampu menyampaikan mesej sosial, budaya dan pendidikan secara langsung kepada masyarakat, sokongan terhadap pembangunan teater masih bersifat sporadik dan kurang konsisten. Faktor-faktor seperti kurangnya kesedaran awam, kekurangan dana, liputan media yang terhad, dan tiadanya dasar kukuh yang menyokong pembangunan teater telah menyumbang kepada situasi ini. Selain itu, sikap masyarakat yang lebih cenderung kepada hiburan popular serta kelemahan dalam sistem pendidikan yang tidak memberi penekanan kepada apresiasi seni turut memburukkan keadaan. Oleh itu, usaha bersepadu perlu digembleng oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, media, badan bukan kerajaan, dan individu dalam komuniti seni untuk mengangkat martabat seni teater. Ini termasuklah menggubal dasar seni yang lebih inklusif, memperkasakan program pendidikan seni, menyediakan peluang latihan profesional, serta memupuk minat generasi muda terhadap teater sejak di bangku sekolah lagi. Jika langkah-langkah ini diambil dengan serius dan dilaksanakan secara berterusan, tidak mustahil bidang seni teater di Malaysia mampu berkembang pesat, memainkan peranan yang lebih signifikan dalam masyarakat dan akhirnya mendapat tempat yang sewajarnya dalam lanskap seni tanah air.

Comments

Popular Posts