TERAPI EMOSI DAN JIWA: HEALTHCARE CLOWNING DAN PEMAHAMAN BAHARU TERHADAP PERANAN TEATER
Pengenalan
`Laughter
is the best medicine.’
Gelotologi
ialah kajian tentang ketawa dan bagaimana ia memberi kesan kepada tubuh dan
minda manusia. Kajian ini menunjukkan bahawa ketawa bukan sekadar reaksi biasa,
tetapi boleh membantu mengurangkan tekanan, mengurangkan rasa sakit, dan
membantu proses penyembuhan, terutamanya bagi masalah jantung dan paru-paru.
Dahulu, ada doktor yang tidak percaya ketawa boleh menyembuhkan, tetapi kajian
moden membuktikan sebaliknya. Contohnya, ada pesakit yang lebih mudah pulih dan
kurang alahan selepas banyak ketawa. Sebab itulah wujud pepatah “laughter is
the best medicine”, kerana ketawa bukan saja membuat kita rasa gembira,
tapi juga boleh bantu badan jadi lebih sihat. Pada tahun 1997, Jean-Paul Bell,
seorang penggiat seni persembahan, bersama seorang pengamal perubatan telah
menubuhkan The Humour Foundation di Australia, sebuah badan amal yang
bertujuan mempromosikan manfaat kesihatan melalui humor kepada pesakit,
keluarga mereka, serta para profesional kesihatan. Projek utamanya, Clown
Doctor Program, lahir daripada idea kreatif untuk menggabungkan seni dan
perubatan dalam satu pendekatan yang belum pernah wujud di negara itu sebelum
ini. Dengan membina satu model baharu yang menjawab persoalan asas tentang seni
dalam perubatan; apa, bagaimana, siapa, mengapa, di mana dan bila, program ini
akhirnya berkembang melalui struktur organisasi yang kukuh, pasukan pentadbiran
profesional, dan sokongan sukarelawan bagi memastikan kelangsungan serta
keberkesanannya dalam konteks hospital. Pendekatan inovatif ini bukan sahaja
membuka ruang baharu dalam dunia rawatan pesakit, malah membuktikan bahawa
apabila seni dan perubatan digabungkan dengan niat yang tulus, ia mampu
mencipta pengalaman penyembuhan yang lebih bermakna, menyentuh emosi dan
memberi harapan, bukan sahaja kepada pesakit, tetapi juga kepada mereka yang
menjaga.
Kajian
tentang kesan ketawa dan humor terhadap tubuh manusia dikenali sebagai
gelotologi. Menurut Association for Applied and Therapeutic Humor yang
ditubuhkan pada tahun 1988, humor terapeutik merujuk kepada sebarang bentuk
intervensi yang membantu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan melalui
elemen kelucuan, permainan, dan keupayaan melihat sisi lucu dalam situasi
hidup. Ramai sarjana dan pengamal perubatan telah menulis tentang kuasa
penyembuhan melalui ketawa, malah ahli falsafah Bertrand Russell pernah
menggambarkan ketawa sebagai ubat sejagat.
Sebagai
satu pendekatan inovatif dalam pendidikan seni persembahan, Pusat Pengajian
Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Bahagian Drama telah menganjurkan
sebuah bengkel istimewa yang membawa pelajar meneroka dunia healthcare
clowning. Bengkel ini telah dijalankan dengan kerjasama erat daripada Red
Bubbles atau Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah KL &
Selangor, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang telah lebih
satu dekad bergiat aktif dalam membawa kegembiraan kepada pesakit kanak-kanak
melalui seni clowning di hospital. Bertempat di ruang kreatif Pelinggam Cahaya,
bengkel ini berlangsung dalam suasana yang santai namun sarat dengan ilmu dan
nilai kemanusiaan.
Penganjuran
bengkel sehari Healthcare Clowning bersama pelajar Bahagian Teater,
Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) membawa pelbagai manfaat
besar yang merentas aspek kemahiran, kefahaman, dan pembentukan nilai
kemanusiaan dalam kalangan pelajar seni persembahan. Bengkel yang dijalankan
ini bukan sekadar menambah pengetahuan teknikal dalam bidang teater fizikal
atau lakonan improvisasi, tetapi membuka ruang pemikiran baharu tentang
bagaimana seni dapat berfungsi dalam konteks yang lebih luas — termasuk dalam
bidang kesihatan, pendidikan, dan kerja sosial. Melalui aktiviti-aktiviti
praktikal, demonstrasi secara langsung, serta sesi perkongsian pengalaman
daripada clown doctors Red Bubbles, para pelajar teater diberi peluang
untuk melihat bagaimana elemen-elemen asas dalam lakonan dan teater fizikal
boleh disesuaikan untuk tujuan terapi dan sokongan psikososial. Lebih daripada
sekadar latihan lakonan, bengkel ini membuka perspektif baharu kepada para
pelajar tentang peranan seni sebagai medium penyembuhan dan empati. Ia juga
mencabar kefahaman mereka terhadap konsep persembahan; bukan untuk hiburan
semata-mata, tetapi juga untuk memberi harapan dan sentuhan perikemanusiaan
kepada golongan yang memerlukan.
Salah
satu manfaat utama bengkel ini ialah peluang untuk pelajar memahami dan
menghayati seni sebagai medium yang bukan sahaja menghibur, tetapi juga
meringankan penderitaan emosi dan psikologi golongan rentan seperti pesakit
kanak-kanak di hospital. Melalui pendedahan kepada kerja-kerja Red Bubbles dan
pendekatan healthcare clowning, para pelajar disedarkan tentang betapa
pentingnya unsur empati, sensitiviti sosial, dan komunikasi berasaskan kasih
sayang dalam sesebuah persembahan. Mereka belajar bahawa ekspresi artistik
boleh menjadi sangat berkesan walaupun dalam bentuk yang ringkas seperti
senyuman, permainan spontan, atau nyanyian ringan asalkan ia tulus dan
bersandarkan niat yang ikhlas.
Selain
itu, bengkel ini turut memberi manfaat dari sudut latihan praktikal. Pelajar
diberi peluang untuk mencuba sendiri teknik-teknik teater fizikal dan lakonan
improvisasi yang digunakan dalam healthcare clowning. Ia secara tidak
langsung melatih tubuh dan minda mereka untuk menjadi lebih responsif, kreatif,
dan bersedia beradaptasi dalam pelbagai situasi di luar kebiasaan pentas teater
konvensional. Pengalaman ini dapat memperkayakan kemahiran lakonan mereka dan
memperluas kemampuan berfikir secara spontan — satu aspek penting dalam membina
pelakon yang serba boleh dan berjiwa masyarakat.
Lebih
penting lagi, bengkel ini menanam kesedaran bahawa seni mempunyai nilai sosial
yang tinggi. Ia membentuk pelajar agar lebih prihatin terhadap isu kemanusiaan
dan membuka potensi kerjaya mereka ke arah bidang-bidang seperti seni untuk
komuniti, seni untuk kesihatan, atau seni untuk pendidikan khas. Dalam era di
mana peranan seni semakin diperluas ke dalam pelbagai sektor kehidupan, pelajar
teater yang mampu memahami dan mengaplikasikan ilmu ini akan tampil sebagai
penggiat seni yang lebih relevan dan berdaya saing.
Kesimpulannya,
bengkel sehari ini bukan sekadar satu aktiviti pengisian masa atau tambahan
kredit pembelajaran, tetapi merupakan ruang pembentukan diri dan kesedaran yang
signifikan kepada pelajar teater. Ia memberi mereka peluang melihat semula
makna dan fungsi sebenar seni bukan
hanya di atas pentas, tetapi juga dalam kehidupan sebenar, dalam wad hospital,
dan dalam hati manusia yang memerlukan. Inilah bentuk pendidikan seni yang
menyeluruh, yang bukan sahaja membina kemahiran, tetapi juga jiwa.
|
Apakah itu Healthcare
Clowning
Healthcare
clowning bukanlah
sekadar hiburan biasa yang berpaksikan lawak jenaka kosong atau persembahan
sarkas semata-mata. Ia merupakan satu bidang seni persembahan yang mempunyai
nilai kemanusiaan tinggi dan berakar pada pemahaman mendalam terhadap psikologi
pesakit, terutama kanak-kanak. Tidak seperti badut sarkas yang berfungsi untuk
menghibur secara umum, healthcare clown dilatih secara khusus untuk
bertindak balas secara empatik terhadap keadaan emosi pesakit dan keluarga
mereka. Healthcare clowning sangat istimewa dan penuh makna,
menggabungkan unsur teater fizikal, komedi, dan empati dengan matlamat utama
untuk memberikan sokongan emosi kepada pesakit terutamanya kanak-kanak yang
dirawat di hospital dan pusat kesihatan. Di sebalik solekan dan pakaian berwarna-warni,
tersembunyi satu misi besar yang menyentuh hati: membawa kegembiraan dan
harapan kepada mereka yang sedang menghadapi detik sukar dalam kehidupan. Para clown
doctor menerima latihan yang merangkumi aspek-aspek penting seperti
psikologi perkembangan kanak-kanak, etika dan prosedur hospital, serta teknik
komunikasi berempati. Mereka tidak hadir dengan niat untuk menjadi pusat
perhatian, tetapi sebaliknya, untuk hadir secara sensitif dan menyokong pesakit
dalam suasana yang sangat mencabar. Dalam melaksanakan tugas mereka, healthcare
clown sering berkolaborasi dengan jururawat dan doktor bagi memastikan
kehadiran mereka tidak mengganggu rawatan, malah memperkukuhkan lagi
kesejahteraan pesakit dari segi emosi dan mental. Salah satu peranan penting healthcare
clown ialah membantu mendukung proses pemulihan melalui pendekatan seni
persembahan. Dengan menggunakan teater fizikal, improvisasi, muzik, dan
permainan, mereka mampu mengalihkan perhatian pesakit daripada kesakitan atau
kebimbangan. Interaksi ini bukan sahaja membawa keceriaan, tetapi juga
mencetuskan hormon positif yang terbukti secara saintifik dapat membantu
mempercepatkan proses pemulihan.
Amalan
healthcare clowning ini telah berkembang pesat di pelbagai negara maju
seperti Belanda, Brazil, dan Australia. Ia telah menjadi satu bidang
profesional yang diiktiraf dan disokong oleh sistem kesihatan awam. Malaysia
turut tidak ketinggalan dalam perkembangan ini, khususnya melalui inisiatif
organisasi seperti Red Bubbles yang menerajui usaha menyantuni pesakit
melalui pendekatan healthcare clowning. Selain hospital kanak-kanak, healthcare
clown turut berkhidmat di unit penjagaan paliatif, rumah kebajikan, dan
pusat pemulihan. Malah, dalam situasi bencana, kehadiran mereka digunakan
sebagai satu bentuk terapi trauma untuk membantu mangsa menghadapi tekanan dan
kehilangan. Justeru, jelas bahawa healthcare clowning bukan sekadar seni
persembahan malah ia adalah satu bentuk intervensi psikososial yang halus,
namun amat signifikan dalam dunia kesihatan moden.
Red
Bubbles atau Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah KL & Selangor
Di
Malaysia, antara organisasi yang menjadi perintis dalam bidang ini ialah Red
Bubbles, atau nama penuhnya Persatuan Penghibur Kanak-kanak Buih Merah KL
& Selangor. Diasaskan pada tahun 2011 oleh Iskandar Syah Ismail, Red
Bubbles berperanan sebagai penggerak utama healthcare clowning
melalui pasukan clown doctor yang bukan sahaja terlatih secara
profesional, malah juga sangat komited dalam menyantuni pesakit-pesakit muda. Melalui
pasukan clown doctor mereka yang profesional dan terlatih, Red
Bubbles melakukan lawatan mingguan dan bulanan ke wad-wad kanak-kanak,
khususnya di hospital yang menempatkan pesakit kronik dan kritikal. Mereka
tidak hanya menghiburkan malah mereka juga memainkan peranan penting dalam
membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dengan suasana hospital yang menakutkan,
mengalihkan perhatian ketika prosedur menyakitkan, dan menceriakan hati yang
sedang sakit melalui permainan, imaginasi, muzik, dan komedi fizikal.
Tugas
seorang healthcare clown bukan sekadar membuat lawak atau menghiburkan,
tetapi mereka menjadi sumber kekuatan emosi. Mereka membantu pesakit
menyesuaikan diri dengan suasana hospital yang selalunya menakutkan,
menceriakan suasana ketika prosedur yang menyakitkan dijalankan, dan
mengalihkan perhatian anak-anak yang sedang dalam kesakitan. Semua ini
dilakukan melalui pendekatan bermain, imaginasi kreatif, muzik spontan, dan
komedi fizikal yang dirancang dengan teliti.
Apa
yang membezakan healthcare clown daripada badut komersial biasa adalah
tahap latihan profesional dan etika kerja yang tinggi. Clown doctor Red
Bubbles seperti Dr. Bubbles, Dr. Lat, dan Dr. Lao-Tan telah menjalani
pelbagai latihan intensif di peringkat antarabangsa seperti di Amerika
Syarikat, Perancis, UK, Sepanyol, Austria, dan Taiwan. Mereka telah menghadiri
bengkel anjuran tokoh-tokoh besar dalam dunia hospital clowning seperti
Caroline Simonds dari Le Rire Médecin (Perancis) dan Avner Eisenberg (AS).
Latihan ini merangkumi improvisasi, komedi fizikal, teknik mime, muzik
spontan, dan penciptaan watak badut yang autentik dan empatik. Selain lawatan
ke hospital,
Red Bubbles juga aktif dalam pelbagai projek
berimpak tinggi seperti penubuhan perpustakaan mini di wad-wad kanak-kanak,
projek mural yang menceriakan ruang rawatan, persembahan muzik dengan kerjasama
Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO), serta program pemberian hajat kepada
pesakit kronik. Mereka juga menulis dan menerbitkan buku cerita bergambar untuk
kanak-kanak yang kemudiannya diagihkan ketika lawatan. Mereka turut menjalankan
program khas seperti menyambut ulang tahun kanak-kanak pesakit, memenuhi hajat-hajat
terakhir pesakit kronik, serta penganjuran bengkel profesional untuk melatih clown
doctor generasi baharu. Healthcare clowning bukan sekadar tentang
hiburan malah ia berkaitan membina semangat, dan membawa cahaya ke dalam dunia
yang sedang dilitupi mendung. Ia membuktikan bahawa jika seni digerakkan dengan
rasa kasih sayang dan dedikasi, ia mampu menjadi terapi yang luar biasa. Red
Bubbles terus menjadi inspirasi dalam membentuk satu bentuk rawatan
alternatif berasaskan seni yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pesakit,
tetapi juga kepada seluruh masyarakat.
Secara keseluruhan, healthcare
clowning ialah satu pendekatan yang bukan hanya menyeronokkan, malah sangat
berimpak dalam bidang penjagaan kesihatan pediatrik. Ia menyatukan seni dan
empati, memberi sentuhan kemanusiaan yang sangat diperlukan dalam suasana yang
sering suram. Red Bubbles membuktikan bahawa dengan kreativiti, latihan
yang betul, dan semangat yang tinggi, seni persembahan boleh menjadi satu
bentuk rawatan bukan dari segi perubatan, tetapi dari segi kejiwaan
Penerimaan Teater
Terapi di Malaysia: Antara Harapan dan Cabaran
Penerimaan
masyarakat terhadap bentuk teater terapi seperti healthcare clowning
masih dalam tahap berkembang di Malaysia. Walaupun tidak sepopular pendekatan
rawatan konvensional, seni persembahan yang bersifat empatik dan terapeutik ini
semakin mendapat tempat, terutamanya dalam kalangan pengamal kesihatan
pediatrik, institusi pendidikan, dan organisasi bukan kerajaan yang cakna akan
keperluan sokongan psikososial pesakit.
Di
peringkat institusi kesihatan, beberapa hospital utama negara seperti Pusat
Perubatan UKM, Hospital Selayang, dan Hospital Sultan Ismail Johor Bahru telah
membuka ruang kepada pasukan clown doctor seperti Red Bubbles untuk
menjalankan lawatan berkala ke wad kanak-kanak. Ini menandakan bahawa pihak
pengurusan hospital semakin menyedari kepentingan sokongan emosi dalam proses
penyembuhan. Kehadiran healthcare clowning bukan sahaja menceriakan
suasana, malah membantu mengurangkan trauma, kebimbangan, dan tekanan yang
dihadapi pesakit serta penjaga mereka. Fungsi ini menjadikan healthcare
clowning sebagai pelengkap penting kepada rawatan fizikal, terutamanya
dalam kalangan pesakit kronik dan jangka panjang.
Namun
begitu, penerimaan masyarakat terhadap teater terapi ini tidak berlaku secara
mudah. Pada peringkat awal, persepsi umum terhadap healthcare clowning
seringkali terikat dengan imej badut sarkas atau hiburan kanak-kanak di majlis
sambutan hari lahir. Ramai tidak memahami bahawa healthcare clowning adalah
satu bidang seni yang berteraskan latihan profesional, kefahaman psikologi
pesakit, dan pematuhan kepada etika perubatan. Cabaran ini berjaya diatasi
secara beransur-ansur apabila impak positif dapat dilihat secara langsung di
mana anak-anak yang dahulunya pendiam menjadi lebih ceria, suasana wad yang
suram berubah menjadi lebih ringan dan mesra, dan prosedur rawatan yang
menyakitkan menjadi lebih mudah ditangani.
Perkembangan positif
ini turut disokong oleh institusi pendidikan tinggi, seperti Pusat Pengajian
Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), yang mula membuka ruang kepada pelajar
teater untuk meneroka bidang teater terapi secara lebih mendalam. Melalui bengkel
seperti yang dianjurkan bersama Red Bubbles, para pelajar didedahkan
kepada aplikasi sebenar seni dalam konteks kemanusiaan. Mereka bukan sahaja
belajar tentang teknik persembahan, tetapi juga tentang kepekaan emosi,
komunikasi berempati, dan peranan seni dalam menyantuni komuniti yang
terpinggir atau mengalami kesakitan.
Selain
sokongan institusi, keterbukaan masyarakat umum juga memainkan peranan penting.
Red Bubbles, sebagai organisasi yang bergantung kepada dana awam dan sumbangan
korporat, telah berjaya membina jaringan kepercayaan dengan pelbagai pihak
melalui program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR), projek
perpustakaan kanak-kanak, dan penganjuran aktiviti bersama komuniti. Ini
menunjukkan bahawa wujudnya kesedaran yang semakin meningkat bahawa seni bukan
hanya milik pentas, tetapi juga mampu hadir di tempat-tempat yang paling
memerlukan – di wad hospital, di pusat perlindungan, dan di kawasan bencana.
Penerimaan
masyarakat terhadap healthcare clowning dan teater terapi di Malaysia
berada di landasan yang positif. Walaupun masih berdepan cabaran dari segi
kefahaman umum dan pengiktirafan profesional, inisiatif seperti yang
dilaksanakan oleh Red Bubbles bersama institusi pengajian tinggi
merupakan langkah penting dalam merakyatkan seni sebagai medium penyembuhan dan
penghubung empati. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai lapisan
masyarakat, teater terapi berpotensi untuk menjadi satu komponen penting dalam
sistem penjagaan kesihatan dan pendidikan seni negara pada masa hadapan.
1.
Spitzer. Peter. 2006. Essay: Hospital clowns—modern-day court
jesters at work
Medicine and Creativity. The Lancet, Volume 368, S34 - S35
Comments