POLITIK JANJI DAN REALITI GEOPOLITIK ANTARABANGSA

 

Getty Images

 

Dalam dunia yang didominasi oleh kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, dan China, kedudukan negara-negara kecil sering kali kelihatan lemah, tersepit dan mudah dipermainkan. Episod terkini yang melibatkan Ukraine dan pelan damai yang dicadangkan oleh pentadbiran Trump menjadi satu contoh jelas bagaimana kuasa besar mampu mencatur nasib negara lain demi kepentingan geopolitik mereka sendiri. Penolakan tegas Ukraine terhadap pelan tersebut yang didakwa secara terang-terangan berpihak kepada Rusia memperlihatkan bagaimana negara yang sedang bergelut mempertahankan kedaulatan turut menjadi mangsa strategi realpolitik kuasa besar.

Sejarah sebenarnya telah lama membuktikan bahawa tindakan sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu. Amerika Syarikat, misalnya, mempunyai rekod panjang dalam mencampuri urusan dalaman negara lain atas nama demokrasi, kebebasan dan kestabilan serantau. Namun pada hakikatnya, ia sering digerakkan oleh kepentingan ekonomi dan geopolitik semata-mata. Rampasan kuasa di Iran (1953) dan Chile (1973) merupakan dua contoh utama bagaimana pemimpin yang dipilih secara demokratik digulingkan dengan bantuan Amerika demi memastikan dasar-dasar pro-Barat kekal berkuasa. Afghanistan pula menjadi medan eksperimen kuasa besar, dari bantuan kepada mujahidin sehingga tercetusnya era Taliban. Sementara itu, pencerobohan ke atas Iraq pada 2003 atas alasan senjata pemusnah besar-besaran yang tidak pernah wujud telah mengorbankan ratusan ribu nyawa dan mewujudkan ketidakstabilan yang berpanjangan.

Apa yang lebih menyedihkan ialah bagaimana kuasa besar mampu mencipta naratif untuk menghalalkan tindakan mereka, sama ada melalui media, institusi antarabangsa mahupun rundingan damai yang bersifat berat sebelah. Pelan damai yang menuntut Ukraine menerima kehilangan wilayah, mengiktiraf pengilhakan Crimea dan menggugurkan cita-cita untuk menyertai NATO jelas merupakan satu bentuk ‘paksaan halus’ yang hanya menguntungkan satu pihak. Dalam hal ini, Ukraine tidak sahaja tersepit, malah dipermainkan oleh kuasa-kuasa besar yang suatu ketika dahulu berjanji untuk melindunginya.

Namun begitu, persoalan yang lebih mendalam perlu ditanya: mengapa negara-negara kecil masih terlalu bergantung kepada janji-janji kuasa besar? Jawapan kepada persoalan ini tidak semudah menuding jari kepada pihak luar semata-mata. Negara-negara kecil sering terperangkap dalam ketidakseimbangan struktur kuasa global. Mereka tidak memiliki kekuatan ketenteraan untuk mempertahankan diri secara mandiri, dan kekurangan pengaruh dalam institusi antarabangsa yang telah direka bentuk untuk memberi kuasa dominan kepada negara-negara besar. Selain itu, janji bantuan ekonomi, pelaburan asing dan jaminan keselamatan sering menjadi "talian hayat" yang menggoda dan menggugurkan kebergantungan jangka panjang.

Dalam dunia yang dibahagikan kepada blok-blok geopolitik seperti NATO dan G7, negara kecil sering takut untuk menjadi pariah atau dikecualikan dari jaringan diplomatik dan ekonomi global. Maka mereka memilih untuk tunduk, atau sekurang-kurangnya 'berpaut' pada kuasa besar tertentu, walaupun tahu bahawa kesetiaan itu belum tentu berbalas. Hakikatnya, ini adalah dilema klasik dunia pascakolonial — di mana kemerdekaan politik tidak semestinya datang bersama kebebasan ekonomi dan strategi.

Namun begitu, sejarah juga telah menunjukkan bahawa negara kecil boleh bangkit dan menyuarakan pendirian mereka dengan lebih bebas dan bermaruah. Gerakan Negara Berkecuali (NAM) yang lahir semasa Perang Dingin adalah antara percubaan awal untuk mencipta pakatan alternatif yang tidak berpihak kepada kuasa besar. Meskipun peranannya semakin kabur hari ini, prinsip yang diasaskannya masih relevan. ASEAN pula ialah contoh terbaik bagaimana kerjasama serantau dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa luar. Bahkan, pakatan baharu seperti BRICS turut membuka ruang untuk mencabar hegemoni Barat dan mencorak sistem dunia yang lebih pelbagai.

Negara-negara kecil juga boleh memperkukuhkan hubungan melalui kerjasama Selatan-Selatan — membina jaringan perdagangan, pendidikan dan teknologi sesama negara membangun. Ini tidak bermaksud menutup pintu kepada Barat, tetapi menuntut hak untuk berdiri dengan lebih bermaruah dan membuat keputusan secara kolektif berdasarkan kepentingan bersama, bukannya arahan dari luar. Malaysia, Indonesia, Brazil, Afrika Selatan dan banyak lagi negara sedang membangun mempunyai potensi untuk memainkan peranan ini jika keberanian politik dan visi jangka panjang dapat dijelmakan.

Dalam dunia yang semakin multipolar ini, sudah tiba masanya negara-negara kecil menilai semula kedudukan mereka. Mereka perlu menyedari bahawa bergantung kepada janji-janji kuasa besar adalah ibarat membina rumah di atas pasir yang mudah runtuh apabila angin berubah arah. Jika negara-negara kecil dapat menyatukan suara, memperkukuhkan kerjasama serantau, dan tidak terlalu bergantung kepada naratif kuasa besar, maka mereka tidak lagi akan menjadi mangsa — sebaliknya menjadi pemain yang berprinsip dalam pentas dunia.

Comments

Popular Posts