Sejarah Ditulis oleh Mereka yang Menang: Perspektif dan Kebenaran dalam Naratif Sejarah

 

“Those who have power have control of what is known and the way it is known, and those who have such knowledge have power over those who do not.” (Ashcroft, Griffiths dan Tiffin, 2000: 72)

 

Pengenalan

Petikan ini menegaskan bahawa kuasa dan pengetahuan saling berkait; siapa yang menguasai pengetahuan berkuasa membentuk pandangan masyarakat tentang dunia. Dalam konteks penjajahan, penjajah bukan sahaja menguasai tanah dan ekonomi, tetapi juga naratif sejarah, budaya, dan identiti, sehingga rakyat tempatan dipaksa menerima pandangan luar terhadap diri mereka. Penguasaan pengetahuan ini meletakkan golongan terjajah dalam kedudukan lemah dan mengekalkan ketidaksamaan kuasa. Dalam era pascakolonial, usaha untuk membebaskan diri daripada `pengetahuan kolonialisme’ masih berterusan kerana warisan struktur kuasa lama masih mempengaruhi media, pendidikan, dan ekonomi. Ashcroft, Griffiths dan Tiffin mengingatkan bahawa pengetahuan tidak pernah neutral dan penting untuk kita sentiasa kritikal terhadap siapa yang mendapat manfaat atau disenyapkan oleh sesuatu naratif.

Winston Churchill pernah berkata "History is written by the victors,". Pernyataan ini memberi gambaran yang mendalam mengenai cara sejarah disusun dan disampaikan. Sejarah, seharusnya menjadi rakaman objektif tentang peristiwa lampau sebaliknya, ia disusun dan dipersembahkan mengikut perspektif pihak yang memiliki kuasa. Dalam banyak kes, pihak yang menang sama ada dalam peperangan, politik, atau konflik sosial akan menentukan bagaimana sejarah tersebut ditulis dan disampaikan. Ini mengundang persoalan mengenai objektiviti dan keadilan dalam naratif sejarah yang diterima umum. Apabila sejarah ditulis oleh mereka yang menang, ia berkemungkinan akan meminggirkan atau melupakan pengalaman pihak yang kalah, menafikan hak mereka untuk didengari dalam naratif sejarah. Sejarah, pada asasnya, bukan sekadar rakaman peristiwa yang berlaku, tetapi juga sebuah `cerita’ yang dibentuk oleh mereka yang memiliki kuasa. Oleh itu, naratif sejarah yang kita pelajari menggambarkan pihak yang berkuasa dalam cahaya positif, manakala pihak yang kalah atau terpinggirkan sering kali dipersembahkan sebagai antagonis atau musuh.

Peristiwa Darurat Malaya (1948-1960) adalah salah satu episod penting dalam sejarah Malaysia yang dipersembahkan dalam naratif sejarah rasmi sebagai perjuangan menentang ancaman komunis. Sejarah rasmi menekankan bahawa peristiwa ini adalah tindak balas terhadap pemberontakan yang dilancarkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM), yang dianggap sebagai musuh utama negara, dengan tujuan untuk menggulingkan pemerintahan kolonial British dan menggantikan sistem kapitalis dengan ideologi komunisme. Dalam naratif ini, pihak British dan tentera Malaya digambarkan sebagai pahlawan yang berjaya mengalahkan ancaman yang besar terhadap kestabilan negara, sementara PKM sering dipersembahkan sebagai pengkhianat yang berusaha menghancurkan keamanan negara.

Namun, jika kita menggali lebih dalam ke dalam konteks sosial, politik, dan ekonomi pada masa tersebut, kita akan menemui pelbagai lapisan cerita yang tidak diceritakan dalam naratif sejarah yang dominan. Ketidakadilan sosial, ekonomi, dan politik yang berlaku semasa era penjajahan British adalah faktor penting yang mempengaruhi kemunculan pemberontakan ini. Semasa penjajahan British, masyarakat di Malaya hidup dalam keadaan ketidaksamaan yang ketara. Majoriti penduduk terdiri daripada golongan pekerja dan petani yang hidup dalam

 

kemiskinan, manakala segelintir golongan elit dan pemodal, terutamanya golongan British dan kapitalis tempatan, menguasai ekonomi negara. Golongan komunis yang pada awalnya dipimpin oleh tokoh-tokoh seperti Chin Peng, terdiri daripada pelbagai etnik, dengan majoritinya adalah orang Cina, telah menentang dasar penjajahan British yang mereka lihat sebagai penindas. Mereka memperjuangkan hak pekerja dan golongan tertindas yang merasa terpinggirkan oleh sistem sosial dan ekonomi yang ada. Gerakan ini yang asalnya berjuang untuk hak-hak kelas pekerja dan kemerdekaan dari penjajahan, berkembang menjadi pemberontakan bersenjata apabila mereka merasakan bahawa perjuangan mereka untuk keadilan sosial tidak mendapat perhatian dari pihak berkuasa kolonial. Namun, dalam naratif sejarah rasmi, perjuangan PKM sering kali digambarkan semata-mata sebagai ancaman komunis yang bersifat ideologi. Naratif ini lebih menekankan kepada ancaman terhadap kestabilan negara dan keselamatan rakyat daripada memahami latar belakang sosio-ekonomi yang mendasari pemberontakan tersebut. Pengalaman masyarakat tempatan, terutamanya golongan yang terpinggirkan seperti pekerja ladang dan petani, sering kali diabaikan. Mereka yang terlibat dalam perjuangan PKM bukan sahaja didorong oleh ideologi komunis, tetapi juga oleh keinginan untuk menuntut hak mereka dalam sistem yang secara terang-terangan menindas mereka.

Salah satu elemen yang dipinggirkan dalam naratif rasmi adalah hubungan rapat antara perjuangan PKM dengan golongan pekerja dan petani. Ramai di kalangan anggota PKM adalah mereka yang bekerja di ladang getah dan lombong timah, di mana keadaan kerja mereka adalah sangat keras dan tidak adil. Ketidakpuasan hati terhadap keadaan hidup yang teruk, dengan gaji yang rendah, syarat kerja yang tidak selamat, serta tiada hak untuk bersuara, mendorong mereka untuk bergabung dengan PKM. Bagi mereka, perjuangan ini bukan sahaja berkaitan dengan ideologi komunis, tetapi juga dengan perjuangan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih adil dan berperikemanusiaan. Di sisi lain, pihak British dan pemerintah tempatan menggambarkan PKM sebagai ancaman keselamatan yang mengganggu kestabilan negara, dan mereka menjustifikasikan tindakan-tindakan keras mereka terhadap pemberontakan ini dengan mendakwa bahawa keselamatan rakyat adalah perkara utama. Dalam tempoh Darurat, banyak kawasan di Malaya menjadi medan pertempuran antara pasukan keselamatan dan PKM, namun rakyat tempatan yang tinggal di kawasan-kawasan tersebut turut terkesan oleh operasi ketenteraan. Kampung-kampung terpaksa dipindahkan, dan banyak orang awam yang tidak bersalah menjadi mangsa kepada tindakan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.

Malah selepas kemerdekaan, naratif ini disusun semula untuk memperkuat imej negara baru yang bebas daripada ancaman komunis dan penjajahan. Kemerdekaan yang dicapai pada tahun 1957 sering digambarkan sebagai hasil perjuangan oleh golongan nasionalis, yang berjuang untuk mengusir penjajah dan mendapatkan kebebasan. Dalam konteks ini, pihak yang berjaya menguasai naratif sejarah adalah golongan yang mempunyai kuasa politik selepas kemerdekaan, iaitu golongan yang menentang komunisme. Oleh itu, perjuangan PKM tidak hanya dilihat dalam kerangka ketidakadilan sosial atau ekonomi, tetapi disorot sebagai ancaman ideologi yang harus ditumpaskan demi kestabilan negara.

Dengan demikian, naratif sejarah Darurat Malaya yang lebih mengutamakan pandangan pihak yang menang iaitu pihak kerajaan kolonial British dan pihak berkuasa selepas kemerdekaan sering kali menenggelamkan perspektif pihak yang kalah atau tertindas, iaitu golongan komunis dan rakyat biasa yang menyokong perjuangan mereka. Sejarah yang ditulis semula selepas kemerdekaan tidak memberikan ruang yang cukup untuk membincangkan ketidakadilan sosial yang mendasari pemberontakan tersebut. Sebaliknya, naratif sejarah yang lebih dominan memberi penekanan kepada ancaman yang ditimbulkan oleh komunis terhadap keselamatan dan kestabilan negara, mengabaikan kenyataan bahawa perjuangan mereka juga berakar dalam ketidakpuasan hati terhadap dasar penjajahan dan sistem sosial yang menindas.

Contoh lain ialah dalam cara sejarah penjajahan ditulis selepas negara-negara bekas jajahan mencapai kemerdekaan, satu usaha besar dilakukan untuk menulis semula sejarah mereka. Ini termasuklah Malaysia, yang memperoleh kemerdekaan daripada British pada 31 Ogos 1957. Dalam proses membina identiti nasional, penulisan sejarah berfungsi sebagai alat penting untuk membentuk naratif kolektif tentang siapa "kita" dan bagaimana "kita" sampai ke tahap ini. Dalam konteks Malaysia, sejarah penjajahan disusun semula untuk menonjolkan kejayaan perjuangan nasionalis, khususnya tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Dato' Onn Jaafar dan lain-lain, dalam menuntut kemerdekaan. Naratif ini mengangkat peranan pemimpin nasionalis sebagai wira yang memperjuangkan kedaulatan negara melalui jalan diplomasi dan politik, tanpa terlalu menekankan peranan kumpulan lain seperti gerakan kiri atau rakyat marhaen yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Sebelum kemerdekaan, sejarah penjajahan yang diajar di sekolah-sekolah dan didokumentasikan dalam penulisan rasmi banyak berpihak kepada pandangan penjajah. Dalam naratif kolonial British, penjajahan sering digambarkan sebagai satu misi peradaban kononnya British membawa kemajuan, pendidikan, sistem pentadbiran moden, serta pembangunan ekonomi kepada tanah jajahan mereka. Dalam wacana ini, penjajah dianggap sebagai penyelamat yang mengangkat masyarakat tempatan daripada keadaan mundur. Infrastruktur seperti jalan raya, sistem undang-undang, dan sekolah yang diperkenalkan oleh British dipaparkan sebagai bukti kebaikan penjajahan. Pandangan ini, walau bagaimanapun, bersifat berat sebelah kerana ia mengabaikan fakta bahawa dasar-dasar penjajah sering bersifat eksploitatif, bertujuan memperkaya British melalui sumber alam dan tenaga buruh tempatan.

Dalam naratif kolonial, penderitaan dan ketidakadilan yang dialami oleh rakyat tempatan sering dipinggirkan atau diminimumkan. Realiti sebenar seperti dasar diskriminasi kaum, pengambilan tanah secara paksa, eksploitasi buruh di ladang-ladang getah dan lombong, serta ketidakadilan ekonomi dan sosial tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Penentangan rakyat tempatan terhadap penjajahan pula, sama ada dalam bentuk gerakan sosial, pemberontakan bersenjata atau perjuangan politik, sering digambarkan sebagai tindakan liar, tidak beradab, atau ancaman terhadap keamanan dan ketenteraman awam. Ini bertujuan untuk melegitimasi tindakan keras pihak penjajah terhadap gerakan pembebasan.

Selepas merdeka, Malaysia perlu menghadapi cabaran membina satu naratif baru yang lebih mencerminkan aspirasi kebangsaan. Dalam usaha ini, sejarah rasmi Malaysia mula memfokuskan kepada perjuangan nasionalis, mempersembahkan proses kemerdekaan sebagai hasil rundingan damai dan usaha diplomatik. Peristiwa seperti rundingan di London, pengisytiharan kemerdekaan di Stadium Merdeka, dan peranan Perikatan (UMNO, MCA, MIC) diberi penekanan utama. Namun, sebahagian besar naratif ini juga cenderung mengetepikan perjuangan alternatif seperti gerakan kiri (contohnya Parti Kebangsaan Melayu Malaya - PKMM dan tokoh seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam), yang turut memperjuangkan kemerdekaan tetapi melalui pendekatan yang lebih radikal. Kesannya, naratif sejarah yang dominan membentuk pemahaman umum rakyat terhadap era penjajahan dan perjuangan kemerdekaan. Ia mengajarkan bahawa kemerdekaan diperoleh secara tertib dan aman, dengan meminimumkan peranan perjuangan rakyat bawahan dan menutupi sejarah penindasan penjajah. Sejarah ditulis bukan hanya untuk menceritakan masa lalu, tetapi juga untuk membina legitimasi kuasa politik pascakolonial yang memerintah. Ini membawa kepada satu soalan penting: sejarah siapa yang kita baca? Dan cerita siapa yang diketepikan dalam proses itu? Maka, adalah penting untuk membaca sejarah secara kritikal, mengambil kira suara-suara yang selama ini dipinggirkan dalam penulisan arus perdana, agar kita memperoleh gambaran yang lebih adil dan menyeluruh tentang masa lalu kita. Naratif ini, meskipun tidak semestinya menipu, lebih berfokus pada kepentingan ekonomi dan politik penjajah dan mengabaikan realiti penindasan yang dialami oleh rakyat tempatan. Dalam kajian semula sejarah ini, kita perlu lebih bersikap kritikal dan menyeluruh dengan mempertimbangkan pelbagai perspektif yang berbeza. Sejarah yang lebih inklusif bukan sahaja akan memberi ruang kepada suara golongan yang terpinggirkan, tetapi juga akan memberikan pemahaman yang lebih adil tentang bagaimana peristiwa-peristiwa penting seperti Darurat Malaya mempengaruhi perjalanan negara. Dengan melihat sejarah melalui pelbagai lensa, kita dapat memahami dengan lebih mendalam tentang perjuangan dan konflik yang berlaku pada masa tersebut, dan bagaimana ia membentuk identiti negara pada masa kini.

Sejarah tidak bersifat statik atau tetap. Seiring dengan berlalunya waktu, terdapat usaha untuk menulis semula sejarah dengan lebih inklusif dan seimbang. Usaha ini termasuk kajian yang memberikan suara kepada golongan tertindas yang sebelum ini sering diabaikan dalam naratif sejarah rasmi. Sejarah yang lebih inklusif ini memberi ruang untuk melihat masa lalu dalam pelbagai perspektif, bukan hanya dari satu sudut pandang yang dominan. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk sentiasa bersikap kritikal terhadap naratif sejarah yang disampaikan, supaya kita dapat memperoleh pemahaman yang lebih adil dan menyeluruh tentang masa lalu kita. Sebagai masyarakat yang ingin memahami sejarah dengan lebih mendalam, kita perlu sentiasa terbuka terhadap pelbagai perspektif dan memastikan bahawa suara mereka yang tertindas tidak terus dilupakan dalam naratif sejarah yang ada.

 

Rujukan

Ashcroft, B., Griffiths, G. dan Tiffin, H.. (2000). Post-Colonial Studies: The Key Concepts. London: Routledge.

Comments

Popular Posts