PERANAN DRAMATURG KURANG DIBERI PERHATIAN DALAM TEATER MALAYSIA DAN LANGKAH MEMPERKENALKANNYA
Dalam konteks
perkembangan teater kontemporari global, peranan dramaturg semakin diiktiraf
sebagai satu elemen penting dalam struktur produksi. Namun begitu, situasi ini
masih belum berlaku secara menyeluruh di Malaysia. Istilah dramaturg,
walaupun telah wujud sejak abad ke-18 menerusi sumbangan Gotthold Ephraim
Lessing di Jerman, masih belum mendapat tempat yang sewajarnya dalam struktur
organisasi produksi teater Malaysia. Kewujudan peranan ini seringkali dipandang
sebagai tambahan yang tidak kritikal, malah dalam kebanyakan produksi,
tugas-tugas dramaturgi diserap secara tidak formal oleh sutradara atau penulis
skrip. Maka timbul persoalan: mengapa peranan ini kurang diberi perhatian, dan
bagaimana kita boleh memperkenalkannya secara berkesan kepada masyarakat teater
tempatan?
Salah satu sebab
utama ialah kekurangan pendedahan secara formal terhadap bidang dramaturgi
di peringkat pendidikan. Kebanyakan program seni persembahan di institusi
pengajian tinggi di Malaysia masih belum menjadikan dramaturgi sebagai satu
kursus teras atau elektif yang khusus. Pelajar teater lebih tertumpu kepada
aspek lakonan, sutradaraan, penulisan skrip dan teknikal, sedangkan dramaturgi
dilihat sebagai fungsi yang terlalu teoretikal atau akademik. Hal ini
menyebabkan pengamal teater muda tidak memahami atau tidak melihat keperluan
untuk menglibatkan seorang dramaturg dalam proses produksi. Bahkan, di
peringkat profesional, tidak ramai yang mempunyai latihan khusus sebagai
dramaturg, menyebabkan fungsi ini tidak berkembang sebagai satu kerjaya yang tersendiri.
Tambahan pula, struktur
organisasi produksi teater di Malaysia masih berlandaskan tradisi lama, di
mana sutradara dianggap sebagai figura utama yang mengawal segala aspek
kreatif, termasuk tafsiran naskhah dan penyelidikan konteks. Dalam struktur
sebegini, peranan dramaturg sering kali dianggap sebagai mengganggu atau
mencabar kuasa mutlak sutradara. Maka tidak hairanlah jika dramaturg tidak
diberikan ruang yang sewajarnya, atau dilihat sebagai “penolong sutradara
akademik” yang tidak relevan. Kurangnya kefahaman tentang peranan sebenar
dramaturg yang bukan sekadar penyelidik, tetapi juga pemikir strategik dan
penghubung antara naskhah, sutradara, pelakon dan penonton, menambahkan lagi
jurang penerimaan terhadap fungsi ini.
Satu lagi isu utama
ialah ketiadaan dokumentasi dan kesedaran awam terhadap sumbangan dramaturg.
Dalam produksi teater tempatan, sumbangan dramaturg jarang ditonjolkan dalam
program acara atau dokumentasi produksi. Apabila peranan ini tidak kelihatan,
maka nilainya juga sukar untuk dihargai oleh masyarakat teater mahupun
penonton. Tambahan pula, dalam ekosistem seni tempatan, belum ada persatuan
atau badan profesional yang khusus mewakili atau memperjuangkan bidang
dramaturgi, tidak seperti sutradara, pelakon atau penulis yang sudah mempunyai
jaringan profesional tersendiri.
Walaupun situasi ini
mencabar, masih terdapat langkah-langkah strategik yang boleh diambil untuk
memperkenalkan peranan dan kepentingan dramaturg secara lebih meluas dalam
konteks teater Malaysia. Pertama sekali, aspek pendidikan perlu diberi
keutamaan. Institusi pengajian tinggi harus mempertimbangkan untuk memasukkan
kursus Dramaturgi Teater dalam silibus pengajian, sama ada sebagai modul
teori atau praktikal. Pelajar perlu didedahkan kepada kemahiran analisis
naskhah, penyelidikan konteks sejarah dan budaya, serta latihan kolaboratif
dengan sutradara dan pelakon. Bengkel khas atau seminar bersama dramaturg
profesional dari dalam dan luar negara juga boleh membantu membina minat dan
kesedaran.
Seterusnya, pengamal
teater digalakkan melibatkan dramaturg dalam projek produksi secara langsung,
walaupun pada peringkat eksperimen. Melalui kerjasama ini, pengalaman sebenar
akan membuka ruang untuk menilai keberkesanan peranan dramaturg dalam
meningkatkan kualiti pementasan. Setiap proses perlu didokumentasikan secara
sistematik dan dikongsikan melalui jurnal, artikel, forum atau media sosial.
Ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada khalayak, tetapi juga membina arkib
dramaturgi tempatan yang sangat diperlukan.
Selain itu,
penerbitan bahan rujukan seperti buku, artikel ilmiah, dan blog tentang
dramaturgi dalam Bahasa Melayu boleh merangsang pemahaman dan minat masyarakat
seni terhadap bidang ini. Penggunaan istilah “dramaturg” mungkin kedengaran
asing, maka pendekatan penjenamaan semula seperti menggunakan terma “perancang
seni”, “peneliti naskhah” atau “penyambung makna” boleh menjadi
langkah awal untuk menjelaskan fungsi sebenar dalam bahasa yang lebih mudah
difahami. Penjelasan ini penting bagi menarik perhatian penonton dan penggiat
seni yang baru berjinak-jinak dengan dunia teater.
Akhir sekali, usaha
memperkenalkan dramaturgi perlu disokong melalui penganjuran forum awam,
sesi dialog dan simposium yang menampilkan sutradara, penulis, pelakon dan
dramaturg dalam satu ruang wacana bersama. Pendekatan ini bukan sahaja akan
merapatkan kefahaman antara peranan-peranan utama dalam produksi teater, malah
menggalakkan kolaborasi dan pemahaman yang lebih inklusif terhadap sumbangan
dramaturg.
Kesimpulannya,
meskipun istilah dramaturg belum mendapat tempat yang sewajarnya dalam
organisasi produksi teater di Malaysia, potensinya sebagai pemangkin kepada
teater yang lebih berkualiti, mendalam dan reflektif tidak boleh disangkal.
Peranan ini bukanlah saingan kepada sutradara atau penulis, tetapi pelengkap
yang menyatukan pemikiran, emosi dan naratif dalam sebuah pementasan yang
berjiwa. Maka, sudah tiba masanya dramaturg diberi ruang, suara dan
pengiktirafan dalam dunia teater Malaysia yang sedang berkembang.
Comments