KARYA DAN HAK CIPTA
Pasca COVID-19 menyaksikan kegiatan berteater dan pementasan teater kembali rancak. Tak kiralah sama ada oleh penggiat tempatan mahupun dalam kalangan pelajar sekolah dan pengajian tinggi. Terutama pada musim peperiksaan sekarang ni, banyaklah pelajar yang membuat pementasan teater untuk tujuan penilaian. Bagusla tu kan.. tapi dalam kerancakan dan keghairahan membuat pementasan teater tu, janganlah sesekali kita lupa akan peraturan dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi antaranya berkaitan dengan KARYA DAN HAKCIPTA. Sedih kengkadang, melihat rakan-rakan seperjuangan dalam seni yang mengeluh dan `meroyan' disebabkan kecuaian dan kealpaan segelintir pihak yang tidak peka dan kurang bertanggungjawab telah menggunakan karya tanpa kebenaran, mencincang karya atau melacurkan karya. Perkara ini tidak seharusnya berlaku sebab peraturan dan undang-undang berkenaan dengannya telah lama diwujudkan. Kalau tak tahu, nak salahkan siapa?
Apa itu Karya dan Hak Cipta?
Hak cipta di Malaysia dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 (Akta 332) yang memberikan perlindungan peraturan kepada karya-karya seperti skrip drama dan karya seni lainnya. Hak Cipta adalah hak eksklusif yang diberikan oleh undang-undang untuk tempoh masa tertentu kepada pencipta karya untuk mengawal penggunaan karya mereka. Hak cipta adalah hak perlindungan yang diberikan oleh undang-undang kepada pencipta karya asal samada karya sastera, drama, muzik, seni dan lain-lain karya intelektual dari disalahgunakan atau digunakan secara tidak sah atau tanpa izin.
Perlindungan ini termasuklah sama ada karya yang sudah diterbitkan atau belum diterbitkan.
Pelanggaran Hak Cipta
Sesiapa yang menggunakan mana-mana karya hakcipta tanpa kebenaran daripada penulis, pemilik hak cipta dan pelaku, dianggap telah melakukan pelanggaran di bawah Akta Hak Cipta 1987.
Namun dalam keadaan tertentu masih dibenarkan untuk menggunakan karya orang lain tanpa perlu meminta kebenaran, seperti;
• Penyelidikan
• Pengajian sendiri
• Kritikan
• Ulasan
• Laporan
TETAPI ada syaratnya -kena letakkan judul karya atau sumber dan penciptanya.
Bentuk adaptasi yang tidak dibenarkan, KECUALI mendapat keizinan;
• karya sastera ditukar kepada karya drama
• karya drama ditukar kepada karya sastera
• terjemahan karya drama dan sastera
• karya drama atau sastera dikomikkan (gambar)
• gubahan atau transkripsi karya muzik
• karya sastera atau seni ditukar menjadi filem
Tempoh Perlindungan Hak Cipta
1. Karya Sastera, Karya Muzik atau Karya Seni
Hak Cipta mengenai mana-mana karya sastera, muzik atau seni wujud semasa hayat pencipta dan hendaklah terus wujud sehingga habis tempoh lima puluh tahun (50) selepas kematiannya.
2. Filem, Rakaman Bunyi dan Pelaku
Hak cipta hendaklah wujud selama 50 tahun dari karya itu diterbitkan, dibuat penetapan untuk karya filem dan rakaman bunyi. Bagi pelaku, hak cipta itu hendaklah wujud daripada persembahan dilakukan atau penetapan dalam rakaman bunyi.
3. Siaran
Hakcipta dalam siaran, perlindungan berlaku dalam cara transmisi sama ada melalui cara wayar atau tanpa wayar (wireless), tempoh selama 50 tahun hendaklah dikira dari mana siaran pertama kali dibuat.
Nota tambahan –
• Karya yang diterbit selepas kematian pencipta: 50 tahun bermula dari tahun kalendar karya diterbitkan
• Karya tanpa nama/mengguna nama samaran: 50 tahun bermula dari tahun kalendar karya diterbitkan
• Karya ciptaan bersama: sepanjang hayat penulis terakhir yang meninggal + 50 tahun selepas kematiannya
Badan-badan Bertanggungjawab Terhadap Karya dan HakCipta
1. Jabatan Hakcipta Malaysia (MyIPO)
2. Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO Corporation)
3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)
4. Pertubuhan Hakcipta Malaysia (MACP)
5. Pertubuhan Kemanusiaan dan Kebudayaan Malaysia (PERKEMAS)
6. Lembaga Penapis Filem (LPF)
Rujukan
https://www.myipo.gov.my/
https://pts.com.my/
https://youtu.be/9Y-L7IODBQE?si=I8QhXcvNCa9qUXPb
Comments