Kepentingan Pengajian Drama dan Teater di Institusi Pengajian Tinggi
Seni teater merupakan satu seni yang rumit dan kompleks. Teater adalah gabungan pelbagai cabang kesenian seperti tarian, lakonan, nyanyian, muzik seni visual dan multimedia. Seni berteater menggabungkan tiga unsur yang penting dalam penilaian diri iaitu V. A. K; visual, audio, dan kinestetik (gerak) termasuk bunyi, suara, muzik, gerak dan bahasa badan (Staub. 1973:2). Seni teater merupakan adalah seni pementasan yang menggabungkan seni penulisan oleh penulis, seni pengarahan oleh sutradara, seni rekaan oleh penata artistik serta seni pertukangan oleh krew teknikal. Teater adalah sebuah seni bersifat kolektif dan memerlukan kerjasama semua pihak dalam produksi.
Seni berteater adalah proses pembelajaran. Pelajar belajar mengenal diri dan masyarakat melaui aktiviti drama yang mencerminkan kehidupan individu serta masyarakatnya. Melalui aktiviti drama, pelajar dibimbing berkomunikasi secara lisan dan bukan lisan (body language) dengan berkesan. Mereka boleh dilatih dengan penggunaan laras bahasa mengikut kesesuaian melalui aktiviti simulasi, main peranan dan improvisasi. Pembelajaran melalui drama menjadikan proses pembelajaran para pelajar lebih menyeronokkan. Di samping itu, aktiviti drama menggalakkan interaksi dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan dan jelas. Drama juga boleh disusun mengikut mata pelajaran tertentu, contohnya, mengajar mata pelajaran sejarah. Guru boleh memilih untuk mendramakan kisah sejarah yang dipelajari dengan membinanya sendiri bersama pelajar melalui teknik improvisasi atau simulasi. Plot atau konflik dalam cerita boleh diwujudkan melalui kaedah perbincangan, ramalan manakala penyelesaian cerita boleh menggunakan kaedah penyelesaian masalah. Aktiviti ini akan menggalakkan kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif, di samping menggalakkan pelajar memahami permasalahan masyarakat dan cuba menjadikan persoalan di dalam drama sebagai satu pengajaran yang menambahkan pengalaman mereka tentang erti kehidupan. Dalam hal ini, secara tidak langsung guru telah dapat menerapkan nilai-nilai murni dan membentuk peribadi pelajar itu sendiri.
Peranan teater dalam sistem pendidikan membolehkan pelajar mempertingkatkan potensi diri dalam banyak aspek termasuklah aspek perkembangan diri dan sosialnya. Aktiviti teater yang berpusatkan pelajar, akan menjadikan penyertaan pelajar lebih aktif.. Melalui aktiviti drama, pelajar yang terlibat dapat mengenal diri mereka lebih jelas, mengenal ruang dan persekitaran, memahami rakan serta meningkatkan keupayaan mereka dalam pelbagai aspek. Oleh itu amat bersesuaian apabila teater menjadi medium unggul untuk menyampaikan pembelajaran secara bersepadu sebagaimana yang diharapkan dalam pendidikan masa kini.
Bersesuaian dengan Falsafah Pendidikan Negara, drama dan teater juga berperanan membentuk insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pendidikan seni teater secara formal bukanlah sesuatu yang asing di Barat khususnya di kebanyakan sekolah baik rendah mahupun menengah, kolej dan universiti. Boleh dikatakan hampir setiap institusi pengajian di Barat ada menawarkan Sijil, Diploma, Ijazah dan Sarjana dan Doktor Falsafah di dalam pengajian seni teater. Tidak hairanlah jika kita dapati seni teater di sana mampu menjadi sebahagian dari budaya kehidupan masyarakat Barat melewati lingkungan umur dari peringkat kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa. Teater itu sendiri adalah kehidupan dan manusia. Teater merangkumi rentetan peristiwa, konflik dan hubungan sesama manusia. Teater adalah salah satu lambang ketamadunan negara dan bangsa. Oleh sebab itulah kita dapati di setiap negara maju di dunia ini mempunyai pergerakan dan kegiatan teaternya sendiri. Namun di Malaysia, keadaannya berbeza kerana bidang ini masih belum mampu menembusi pasaran pendidikan nasional. Bidang ini sebenarnya bukan sesuatu yang asing kerana masyarakat kita telah didedahkan kepada dunia teater sejak beratus tahun seperti teater tradisional seperti Jikey, Makyung, randai, menora, teater transisi Bangsawan, Sandiwara, purbawara dan teater moden. Kehidupan manusia yang ketika itu sangat kuat dipengaruhi oleh alam sekeliling dikatakan menjadi penentu kepada perjalanan dan pengurusan kehidupan seharian dan elemen teater telah dijadikan sebagai wadah untuk membantu menyempurnakan kehidupan seharian[ Teater berperanan bukan sahaja sebagai hiburan malah teater juga berperanan dalam menyampai ilmu untuk mendidik, menyebar propaganda seperti yang berlaku di zaman Jepun, untuk tujuan pemulihan, menyampaikan mesej baik berupa pesanan dan didaktik moral dan juga sebagai elemen ritual.]. Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang adalah universiti terawal menawarkan pengajian seni persembahan dan menjadi perintis dalam pengajian teater dan aspek lain dalam performing arts di Malaysia sejak tahun 1972. USM telah mengendalikan program teater yang lengkap, merangkumi aspek teori dan amali dalam teater tradisional dan moden (Mohamed Ghouse Nasuruddin, 2007: 6). Melalui USM telah lahir ramai pakar akademik, koreografer, penggiat filem, penggiat, aktivis dan golongan seni tanahair yang popular serta menjadi tunggak perkembangan seni persembahan khususnya teater di negara ini seperti Zulkifli Zain, Zainal Abdul Latif, Ahmad Tarmimi Sarigsr, Lokman Ghani, Jamal Sulai, Samat Saleh, Rosminah Tahir, Hardy Shafi, Yalal Chin, Zaibo, Hamzah Tahir, Mazlan Tahir Sharifah Mahani Syed Kassim, Hatta Azad Khan, Zakatria Ariffin, Khee Thuan Chye, Marion D’Cruz, Zaifri Hussain dan Rosli Mansor. USM telah berjaya menyumbang kepada pembangunan institusi teater di Malaysia. Universiti Malaya juga tidak ketinggalan dalam menyumbang bakti mengangkat martabat seni berteater di Malaysia. Ia menjadi perintis mengendalikan persembahan teater berbahasa Inggeris melalui Jabatan Pengajian Inggeris yang mementaskan drama Shakespeare, Ibsen dan lain-lain drama Barat.
Namun begitu, mengapa seni teater tidak diberikan kedudukan yang sewajarnya seperti lain-lain seni? Mengapa seni teater dianggap sebagai seni kelas dua? Kewujudan Panggung Negara atau nama terkininya Istana Budaya) pada asalnya adalah sebagai mercu kewujudan sebuah institusi teater tradisional dan moden di Malaysia. Di situlah bakal diadakan persembahan, latihan, kelas teater untuk membimbing teater Melayu mencapai kegemilangan. Namun hasrat itu tidak terlaksana kerana matlamat Panggung Negara diubah (atas faktor politik) menjadi sebuah panggung yang hanya mengisi persembahan dalam dan luar negara. Kompleks Budaya Negara (KBN) satu cabang dari Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah pernah bergiat aktif membantu mengangkat martabat teater dengan menganjurkan pelbagai kegiatan pementasan, bengkel dan lain-lain. Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang pernah terlibat menghasilkan penerbitan karya-karya hebat Seniman Negara Usman Awang, Seniman Negara A. Samad Said dan Johan Jaafar. Namun kini keadaan itu tidak lagi berlaku secara aktif. Kegagalan pemimpin dan masyarakat Malaysia untuk melihat kepentingan dan peranan yang dimainkan oleh teater berpunca dari sikap mereka sendiri yang terlalu melihat kepada aspek kebendaan (materialistik) dan keuntungan segera semata-mata. Pelbagai alasan diberikan untuk menolak dan menidakkan hak seni teater. Terdapat masyarakat termasuklah segelintir ahli akademik (tidak memeranjatkan) menganggap bidang teater hanya suatu bidang seni hiburan tidak komersil sepertimana lain-lain bidang seni khasnya perfileman dan muzik. Apakah mereka kurang peka atau sengaja buat-buat tidak nampak bahawa terdapat beberapa buah negara luar yang berjaya menjadikan teater sebagai salah satu sumber pembangunan ekonomi negara seperti di London (West End), New York (Broadway) dan Tokyo (Kabuki). Penafsiran `seni hiburan tidak komersil’ dilihat dari sudut mana? Apa yang dimaksudkan dengan hiburan? Kalau seni teater dianggap tidak komersil dan tidak mempunyai khalayak berbanding dengan seni perfileman dan muzik, anggapan itu sama sekali tidak berasas dan tidak adil. Seni teater adalah seni yang bersifat secara langsung (live) dan kesan empatinya lebih dekat kepada penonton berbanding dengan seni perfileman yang terhasil melalui beberapa proses suntingan dan tidak real. Alasan lain yang diberikan bahawa penghasilan produksi teater sangat besar belanjanya. Adakah ini juga benar? Ya, mungkin juga benar sebab mereka hanya merujuk kepada beberapa buah produksi yang bersifat mega seperti pementasan-pementasan di Istana Budaya. Namun bagi mereka yang bijak, sebenarnya untuk menghasilkan sebuah produksi teater bergantung kepada kreativiti manusia dan teater itu juga sebenarnya fleksibel sifatnya. Teater itu adalah cerminan kehidupan! Pelbagai bentuk teater boleh dibuat tanpa memerlukan perbelanjaan atau kos yang besar seperti dekon, teater jalanan dan teater bergerak.
Ada juga yang beranggapan mempelajari teater itu tidak memberikan manfaat jangka panjang kepada seseorang individu di masa akan datang. Soalan yang biasa diajukan ialah ke mana hala tuju dan masa depan graduan berkelulusan teater? Di manakah pasarannya? Pandangan ini jelas sempit dan bersifat tidak adil kerana ia merujuk kepada sudut perolehan peluang pekerjaan yang baik serta keuntungan yang besar dalam masa yang singkat semata-mata. Dari sudut manakah teater dikatakan mempunyai prospek yang terhad, adalah suatu persoalan yang melucukan. Persoalan-persoalan ini wujud kerana mereka melihat teater hanya sebagai lakonan persembahan sahaja, tidak lebih dari itu.
Ini berbalik kepada soal pendidikan, kefahaman dan budaya. Budaya menghargai kemampuan seni teater itu masih berada di tahap yang rendah. Masyarakat kita lebih menjiwai seni muzik berbanding lain-lain seni yang ada. Muzik dilihat sebagai sebuah seni yang elit. Mengapa ini terjadi? Terlalu banyak faktornya. Antaranya ialah seni muzik yang telah lama mempunyai asasnya tersendiri. Muzik dilihat sebagai salah satu cara untuk `mencari makan’ atau perniagaan. Ramai yang telah menjadi kaya dan terkenal melalui muzik. Wujudnya banyak sekolah muzik umpama cendawan tumbuh selepas hujan di mana-mana pelusuk negeri menjadi faktor penggalak yang utama dan mendapat sambutan setiap golongan lapisan masyarakat khususnya masyarakat bandar. Seni muzik sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan, di mana-mana sahaja kita disogokkan dengan muzik; di kaca televisyen, di corong radio, hinggakan tanpa muzik, manusia akan merasa kesunyian dan kesepian. Muzik hidup kerana irama, tempo, rentak, liriknya telah menjadi halwa telinga yang cukup menghiburkan.
Berbalik kepada teater, mengapa ia tidak mampu mencapai tahap kemasyhuran seperti seni muzik? Mengapa hal sedemikian boleh terjadi? Semuanya berpunca daripada sistem pendidikan teater kita yang terlalu bersifat lahiriah dan sekadar sepintas lalu sahaja tanpa menumpukan kepada aspek pembangunan rohani, teknikal, pensejarahan teater, psikologi dan sosiologi teater dan kreativiti pengurusan. Perkara ini pernah dikeluhkan oleh Sasterawan Negara Dato Syed Alwi di dalam temubual dengan majalah Pentas (2007). Kebanyakan institusi pengajian yang menawarkan kursus atau program teater tidak bersifat inovatif, masih berada di takuk lama, era lama. Kebanyakannya memfokuskan lebih kepada aspek bagaimana untuk menjadi seorang pelakon, tatacara menghasilkan sebuah produksi atau tatacara melihat dan mengkritik sebuah produksi dari sudut estetikanya semata. Akibatnya lahirlah kumpulan penggiat teater yang kurang masak atau separuh masak. Masyarakat melihat mempelajari lakonan dan seni teater sebagai satu perkara yang remeh dan tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Masyarakat melihat seni berteater itu mudah. Sesiapa sahaja boleh buat teater dan berlakon. Dari sudut ekstrinsiknya memang benar tetapi berbicara dari sudut intrinsiknya pula, kualiti, dan impak sosialnya bagaimana? Melihat sudut lakonan pelakon Malaysia di kaca televisyen dan panggung wayang umpamanya seperti melihat patung kayu yang digerak-gerakkan, tiada emosi dan jiwa. Kebanyakan pelakon yang ada di Malaysia ini tidak mendalami ilmu lakonan mereka malah berpuas hati dengan setakat apa yang mereka ada sahaja.
Semua pendekatan pengajaran atau pengajian teater yang diaplikasikan di kebanyakan institusi pengajian selama ini kebanyakannya berkiblatkan Barat yang menekankan aspek lahiriah dan materialistik semata-mata tanpa mengambilkira faktor persekitaran dan keperluan nasional. Penawaran kursus lakonan umpamanya tanpa menitik beratkan kepada peranan serta hubungkait diri seseorang itu dengan jiwa, agama dan pembangunan sahsiah kemanusiaan menjadikan pendidikan teater kosong dan jumud. Seni teater sebenarnya cukup lengkap dalam ertikata mencari dan mengenal diri dan Penciptanya. Pengenalan istilah `Teater Memanusiakan Manusia’ adalah sangat tepat sekali. Melalui berteater kita belajar tentang hubungan diri, hubungan manusia sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam. Pengamalan sesi olahan tubuh umpamanya, mampu melatih seseorang insan itu mengenal tubuhnya sendiri dengan lebih dekat dan sekaligus menjadikannya seorang manusia yang insaf dan tawadduk kepada kuasa yang lebih agung yang menjadikan dirinya sedemikian rupa. Melalui olahan tubuh juga boleh melatih manusia untuk bersyukur dengan apa yang mereka miliki. Dalam pengurusan teater pula, seni teater dapat melatih seseorang itu untuk menerima dan memberi arahan, mewujudkan sikap toleransi dan bekerjasama serta meningkatkan daya kreativiti. Pelakon yang baik tidak kira dalam seni teater atau filem adalah mereka yang sanggup dan tidak jemu-jemu untuk mendalami ilmu lakonan mereka. Ilmu di dunia ini umpama buih di lautan, yang tidak akan pernah habis. Pelakon yang baik itu perlu mendalami bukan sahaja ilmu lakonan malahan juga perlu mendalami ilmu di luar daripada bidang lakonan tetapi masih dalam ruang lingkup teater seperti gerakgeri, seni muzik dan seni suara agar pelakon itu dapat mengekploitasikan seluruh anugerah yang ada pada tubuhnya seperti menari, menyanyi dan bermain alat muzik. Penggiat atau pelajar teater juga wajib mempelajari ilmu psikologi, sosiologi dan antropologi masyarakat. Ini kerana seorang pengarah teater sebelum dia boleh mengarah sebuah drama, ia perlu memahami budaya, sastera dan sejarah berkaitan cerita yang dibawa, memahami psikologi watak dan pelakon dan lain-lain. Seni teater menyediakan pengamalnya dengan ilmu dan membantunya melihat dunia dan kehidupan sesama manusia dari sudut yang lebih luas. Ini sekaligus mampu menjadikan pengamal teater sebagai manusia yang terbaik di kalangan manusia!
Pandangan mempelajari seni teater tidak memberikan sebarang manfaat menunjukkan betapa ceteknya pemikiran sekelompok manusia dalam melihat dunia teater. Teater memainkan peranan jauh lebih daripada itu. Teater sejak dahulu hingga kini menjadi wadah pembangunan sosial malah ia telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai medium perubahan sosial masyarakat dan manusia amnya. Di Rio de Janeiro, seni teater yang dikenali sebagai Forum Theatre telah dijadikan sebagai alat untuk membantu kerajaan dalam menggubal dasar dalam perlembagaan dan undang-undang. Teater menjadi saluran untuk rakyat menyuarakan pandangan dan teguran secara aman, selamat dan terkawal terhadap pemerintah. Di Eropah, teater dijadikan sebagai alat luahan perasaan dalam membantu pesakit yang mengalami masalah tekanan perasaan seperti pendekatan psikodrama, sosiodrama, Playback theatre dan lain-lain.
Perkembangan teater di Kelantan khususnya bukanlah suatu yang baru. Contohnya apabila kita menyebut tentang teater tradisional di Kelantan misalnya, akan terbayang di fikiran kita kepada seni persembahan teater tradisional makyung, main putri, dikir barat dan lain-lain. Corak serta konsep persembahan tradisional seperti makyung yang unik dan penuh dengan `elemen of suprises’ turut diiktiraf oleh pihak UNESCO sendiri dan menjadi sebahagian dari warisan budaya yang dipelihara. Namun warisan budaya ini jika tidak di[pelajari secara formal, tiada pengamal dan pewarisnya, maka seni ini akan tetap pupus di masa akan datang dan pengiktirafan UNESCO itu akan terbatal dengan sendirinya. Oleh sebab itu setiap sekolah seni di seluruh Malaysia termasuk beberapa universiti tempatan di sebelah pantai barat semenanjung Malaysia seperti Unversiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), ASWARA, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), dan di Borneo seperti Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNiMAS) telah memasukkan pengajian teater tradisional di dalam pengajian teater yang ditawarkan. Manakala di institusi pengajian tinggi di sebelah zon Pantai Timur yang terdiri daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), hanya UMK melalui Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) sahaja yang ada menawarkan pembelajaran teater melalui elektif seni persembahan di bawah Pengajian Warisan. Kewujudan pengajian seni persembahan di FTKW UMK di Kelantan yang kaya dengan seni, budaya dan warisan adalah satu tindakan yang bijak kerana sudah sampai masanya untuk Kelantan mempunyai pusat pengajian akademik khusus yang mengkaji seni warisan dan budaya mayarakat tempatan. Sebelum ini kebanyakan kajian seni warisan dan budaya seringkali dikaji oleh institusi pengajian dari luar Kelantan seperti USM, UKM, UM dan UPSI. Kewujudan bidang seni persembahan melalui FTKW UMK memberi peluang dan ruang kepada penggiat dan peminat teater di sebelah zon timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) untuk menimba ilmu teater secara formal, mendalami seni, budaya dan warisan negeri Kelantan yang kaya dan secara langsung akan dapat menjamin kelestarian perkembangan seni budaya sedia ada. Dari sudut pembangunan ekonomi kepada masyarakat, penawaran pengajian teater di UMK perlu unik dan berbeza dengan lain-lain pusat yang turut menawarkan pengajian teater. Sebagai sebuah universiti yang berteraskan keusahawanan dan letaknya pula di negeri Kelantan yang sinonim dengan budaya berniaga di kalangan masyarakatnya, bidang pengajian teater yang ditawarkan juga perlu menjurus kepada bidang keusahawanan. Penawaran ini perlu agar ia mampu memberikan pulangan yang baik bukan sahaja kepada pihak pelaksana malahan juga kepada masyarakat sekitar dan negeri Kelantan amnya. Penawaran kursus-kursus lakon, pengarahan, teknikal, dan pengurusan seni perlu diperkukuhkan dengan pembangunan nilai insan yang tinggi serta penerapan ilmu perniagaan dan keusahawanan agar mampu melahirkan graduan usahawan seni yang berjati diri serta berupaya mencipta peluang pekerjaan baru dalam bidang industri kreatif disamping memenuhi keperluan industri dan kepentingan pembangunan negara. Pembelajaran ilmu perniagaan dan keusahawanan teater secara tersusun dalam di UMK menjadikan ia unik dan berbeza dengan lain-lain universiti yang turut menawarkan pengajian yang sama. Ia berupaya menjadi kursus yang relevan dengan keperluan semasa dan dijangka mampu menarik minat ramai penggiat dan peminat teater dari dalam dan luar Kelantan untuk mempelajari pengajian seni teater yang ditawarkan UMK. Pengkorporatan institusi pengajian tinggi kini memerlukan pihak pengurusan universiti menjana pendapatan melalui pelbagai cara antaranya melalui yuran pengajian pelajar. Keunikan penawaran kursus keusahawanan teater disertai dengan pembangunan jati diri yang jitu mampu menarik minat masyarakat tempatan dan luar negara dan sekaligus bakal menyediakan sumber pendapatan yang besar. Secara umumnya, penawaran pengajian teater berteraskan keusahawanan adalah satu pelaburan modal jangka panjang yang berbaloi, lebih banyak memberikan manfaat serta berupaya memberikan pulangan yang besar di masa akan datang.
Kewujudan bidang seni persembahan di UMK diharapkan akan dapat memanggil kembali aktivis seni Kelantan yang telah berhijrah dari Kelantan untuk kembali semula ke Kelantan dan bergiat aktif di UMK. Keadaan ini jika berlaku bakal mengangkat UMK sebagai pusat pelestarian kepada kegiatan teater khususnya teater tradisional bermutu di sebelah Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Tidak merugikan jika UMK bersedia untuk membuat pelaburan besar kepada membangunkan bidang seni persembahan ini kerana ia adalah satu pelaburan yang bakal memberikan pulangan jangka panjang yang besar kepada FTKW, UMK dan negara. Peranan dan tanggungjawab FTKW UMK bukan sekadar memberikan ilmu, malah sebagai sebagai institusi pendidikan tinggi perlu giat membuat kajian dan penyelidikan mendalam terhadap seni dan budaya yang ada dalam usaha menyarankan penyelesaian terhadap kemelut pemahaman dan kepercayaan yang membelenggu dan menghalang perkembangan seni dan budaya di Kelantan. Pihak pengurusan UMK perlu membuka mata dan melihat seni persembahan berupaya menyumbang kepada pembangunan universiti dan negeri. Kewujudan bidang pengajian seni persembahan di FTKW UMK adalah satu langkah bijak dan tepat pada ketikanya dalam usaha UMK untuk memartabatkan seni budaya Kelantan yang diversiti. Janganlah kita memandang sepi akan seni budaya yang ada di sekeliling kita kerana seni budaya itu lambang jatidiri sesuatu bangsa bertamadun. Sesuatu yang amat memalukan sekali apabila jika UMK terus bersikap sepi dan `tak apa’ melihat institusi pengajian tinggi di luar negeri Kelantan yang terus beria-ia untuk menguasai seni budaya yang asalnya dari Kelantan. Dikhuatiri, jika ia terus dibiarkan, seni budaya milik Kelantan ini akan menjadi milik masyarakat bukan Kelantan dan anak jati Kelantan sendiri tidak akan mengenali seni budaya mereka.
Semoga dengan wujudnya sebuah pusat pengajian seni persembahan di Kelantan khususnya teater di UMK dan Pantai Timur ini akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan teater yang berilmu dan berkualiti seperti pandangan yang diutarakan oleh Dato Syed Alwi dalam temubualnya dengan majalah Pentas (Jil.2 Bil. 3, Mei & Jun 2007) bahawa sekiranya masyarakat sedar dan mengerti akan peranan dan tujuan seni teater yang sebenarnya, sudah pasti mereka tidak akan teragak-agak untuk menubuhkan jabatan teater yang lengkap, malah akan melaksanakannya dengan cepat supaya Malaysia boleh membangunkankan teater yang mampu memberikan identiti dan daulat dalam seni budaya dunia.
Rujukan
1.Staub. A.W. (1973). Creating Theatre; The Art of Theatrical Directing. New York. Harper & Row Publisher.
2.Mohamed Ghouse Nasuruddin. (2007), Mac, Kita Tak Ada Institusi Teater?, Pentas, 6 – 9.
Comments