KEPENTINGAN DIKSI DALAM DRAMA
Perkataan `audience' berasal dari kata Latin iaitu `audentia yang bermaksud `hearing'. Kata kerja `audio' iaitu `to hear'. Dalam kontek asas sejarah teater, audience itu asas fungsinya ialah untuk mendengar. Apa yang didengarkan? Kita perlu berbalik kepada sejarah kemunculan teater di abad 5SM iaitu di era Yunani Klasik. Kemunculan aksi dalam teater berasaskan kepada pengucapan. Melalui pengucapan yang disampaikan oleh watak melalui pelakon, kita akan mengenalpasti aksi dan reaksi. Nak tahu detail, kena baca teater klasik Yunani doh!
Sejak kebelakangan ini agak sukar untuk kita nak `mendengar' pementasan yang bermain dengan diksi yang baik dan menarik. Bukan mudah nak cari naskah-naskah drama sehebat Bukan Lalang Ditiup Angin, Kerusi, Di Mana Bulan Selalu Retak, Langit Petang, Angin kering, dan seumpamanya (hanya menyebut beberapa naskah sahaja) memang payah. Hakikatnya drama sebegini bukan sahaja tinggi nilai diksinya, malah kaya dengan cerminan budayanya. Aristotle menekankan pentingnya konsistensi dalam penggunaan diksi. Hal ini bermaksud bahawa gaya bahasa dan pilihan kata-kata harus sesuai dengan watak, budaya, dan zaman yang digambarkan dalam drama. Sebagai contoh, watak yang berpendidikan tinggi akan menggunakan diksi yang lebih formal dan rumit, manakala watak yang kurang terpelajar mungkin menggunakan diksi yang lebih sederhana.
Kebelakangan ini kita selalu disogok dengan persembahan yang kaya nilai artistik tetapi rata-rata menggunakan bahasa pengucapan yang kasar dan pasar. Tak salah pun. Sebab ada berpendapat nak sampaikan mesej biarlah menggunakan bahasa yang mudah dan senang difahami. Malah Aristotle turut menjelaskan kepentingan kejelasan dalam penggunaan diksi. Kata-kata yang digunakan harus dapat difahami dengan mudah oleh penonton, agar mesej yang ingin disampaikan dalam drama dapat disalurkan dengan baik. Namun adakah kita perlu meniru realiti. Realiti yang macamana? Nak ikut macam dalam filem? Genre filem dengan teater tak sama. Ya mungkin, barangkali abad 21 ni tidak sesuai dah nak hasilkan drama seperti yang saya sebutkan tadi. Tapi kita lihatlah sendiri hasilnya. Bahasa kita khususnya bahasa melayu dah macam rojak. Kita nak jadi macam Melayu di negara jiran ke? Bahasa Melayunya da tak macam melayu. Generasi muda kita juga dah mula kurang bijak untuk mengolah kosa kata dengan baik. Ini hakikat. Lihat sahaja karangan dan cara bercakap mereka. Sebenarnya, tak salah untuk kita nak bermain dengan naskah eksperimental bagai. Silakan. Mungkin ia boleh menjadi asas untuk menarik minat golongan muda kepada seni teater. Tapi berpada-pada dan variasikan genrenya. Sekurang-kurangnya fahamilah fungsi dan peranan teater yang pelbagai itu. Teater itu kan medium efektif untuk melatih dan membentuk cara pengucapan dan berbahasa yang baik? Kata nak `memanusiakan manusia'. Kalau dulu zaman saya belajar, pelajar TESL ni, mereka diwajibkan belajar dan kemudian mementaskan semula karya agung Shakespeare. Mereka bukan belajar berteater maka pementasan itu bukanlah untuk melihat kehebatan mereka berlakon tetapi untuk melihat tahap dan keupayaan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris dan berkomunikasi menggunakan bahasa tinggi itu. Teater adalah medium terbaik untuk melakukan semua itu (banyak kajian telah dibuat dan diterbitkan, cuma terpulang kepada kita saja sama ada nak membacanya atau tidak). Tak salah untuk kita berhibur tapi aspek mendidik itu wajib, barulah berkat. Chewaaaahh.
Berbalik kepada drama. Watak-watak manusia yang diwujudkan dalam drama itu bukanlah sama seperti watak realiti yang kita lihat dalam kehidupan nyata. Ia adalah watak yang diciptakan khusus oleh penulis dengan gaya dan pengucapan yang khusus mengikut selera penulis. Teater bukan realiti tetapi hanyalah cerminan realiti; apa yang dipaparkan oleh penulis/sutradara adalah fokus penting apa yang mereka nak pembaca/penonton dengar dan lihat. Contohnya kita menonton teater, kisah biografi P. Ramlee, kisah hidupnya yang berpuluh-puluh tahun itu dapat disampaikan dalam tempoh masa 1 ke 2 jam sahaja. Sutradara memilih dan menyaring apa yang penting dan yang ingin difokuskan sahaja. Teater mempunyai peranan dan fungsi yang khusus disamping berhibur. Hiburan dalam teater bukan sekadar hiburan kosong tetapi hiburan yang bermesej.
Menurut Aristotle, diksi merupakan salah satu elemen penting dalam drama seperti yang dijelaskannya dalam karya "Poetics". Diksi merujuk kepada pilihan kata-kata yang digunakan dalam dialog, monolog, dan naratif drama. Elemen ini memainkan peranan penting dalam menentukan gaya, nada, dan makna keseluruhan karya dramatik. Umumnya diksi adalah susunan gaya pengucapan dalam drama yang disampaikan melalui perantaraan watak (pelakon) yang memperjelaskan mood cerita, watak, pemikiran, mencipta latar dan keindahan, serta membentuk rentak/tempo persembahan. Diksi juga berkaitan dengan asas struktur ritma yang membentuk aksi dan reaksi;
“The character has an intention and therefore takes an action that causes a reaction, which in turn is a stimulus for another reaction.” (Catron, Louis E. 1989)
Menurut Aristotle lagi, diksi harus dipilih dengan cermat agar sesuai dengan watak, suasana, dan tema dalam drama. Diksi yang tepat membantu dalam membentuk identiti watak, mengungkapkan emosi, dan menyampaikan konflik secara jelas kepada penonton. Selain itu, diksi juga memainkan peranan dalam mewujudkan suasana dan mood keseluruhan drama.
Justeru tumpuan terhadap diksi tidak boleh dipandang remeh terutamanya sutradara dan pelakon. Dramatis telah memilih perkataan-perkataan khusus untuk dimuatkan sebagai pengucapan oleh watak-watak, maka tanggungjawab pelakon dan sutradara adalah untuk menyampaikan perkataan dan ayat yang disusun itu menjadi suatu pengucapan yang benar-benar memenuhi maksud dan keinginan dramatis. Pelakon perlu bijak memvariasikan teknik vokalnya; rate, pitch, volume dan timbre untuk mencapai dinamika vokal yang diharapkan.
Menurut Stanislavski; “Spectators come to the theatre to hear the subtext”(Catron, Louis E. 1989). Subteks merujuk kepada mesej tersembunyi yang terkandung di sebalik pengucapan atau tindakan watak. Ia boleh berupa emosi, keinginan dan sikap yang tidak terucap secara zahir. Pelakon yang baik adalah pelakon yang berupaya menyampaikan subteks itu dengan jelas dan berkesan. Justeru, tindakan mengubah atau menggantikan perkataan atau susunan ayat pengucapan secara sesuka hati oleh pelakon atau sutradara adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak bertanggungjawab;
How carefully should you work to be sure performers are faithful to the playwright’s words? In a word, very. …when performers depart from the playwright’s script, they injure not only the playwright but also the play. Playwrights spend days working to get a speech right. Performers can destroy the effect with a casual change.” (Catron, Louis E. 1989)
Fahami setiap maksud dan subteks yang terkandung di sebalik perkataan dan pengucapan watak agar ia sesuai dengan kontek perbualan yang dimaksudkan. Menganalisis diksi menuntut ketajaman telinga (pendengaran). Diksi dalam drama ada yang tersurat dan ada yang tersirat (ini yang perlu dikupas dan diperhalusi). Pemahaman terhadap maksud tersirat dalam dialog akan menentukan rentak dan tempo pengucapan. Ini yang perlu difahami oleh pembaca. Justeru, hormatilah dialog yang ditulis oleh dramatis.
Kaedah Asas Menganalisis Diksi dalam Drama
Diksi dalam drama dapat menjelaskan emosi, perwatakan watak, jenis drama dan subtek. Sebahagian maksud dan pemikiran dalam drama terkandung dalam gaya bahasanya. Drama perlu diulangbaca sebanyak mungkin untuk memahami gaya bahasa yang digunakan dalam drama. Berikut disediakan kaedah untuk menganalisis diksi dalam sesebuah drama;
1. Apakah tajuk drama dan siapakah penulisnya? Ini penting untuk mengetahui sikap dan pendirian penulis, mengetahui latar belakang (pendidikan, sosio-ekonomi dan prinsip), apa kaitan tajuk dengan pemikiran cerita.
2. Apakah perkataan-perkataan atau ayat yang dirasakan agak mengelirukan makna, atau bermasalah? Senaraikan dan cari maknanya dan sesuaikan dengan gaya pengucapan yang dikehendaki.
3. Bagaimana stail bahasa yang digunakan secara keseluruhannya (berirama, prosa, moden, mempunyai kepelbagaian warna, tahap bahasa)?
4. Bagaimana penggunaan diksi untuk setiap watak? Ada penggunaan bahasa daerah/ bahasa pasar/bahasa formal? Cara pengucapan juga merujuk kepada ciri-ciri watak dan latar belakang watak.
5. Adakah penulis juga menggunakan kaedah `silence in acting' untuk berkomunikasi? Apakah maksud di sebaliknya dan apakah tujuannya?
Dengan demikian, dalam menganalisis sebuah drama, penting untuk diperhatikan kaedah penggunaan diksi oleh penulis dalam membentuk watak, membangunkan suasana, dan menyampaikan tema keseluruhan karya.
Comments