PUISIDRA

PuisiDra datang dari dua perkataan iaitu `puisi’ dan `drama’. Penyampaian puisi melalui lakon drama akan dapat menjelaskan mesej yang ingin disampaikan dalam puisi dan memfokuskan tanggapan penonton kepada isu yang sebenar. Puisidra menerapkan elemen lakonan, persembahan, nyanyian dan alunan muzik. Gabungan pelbagai elemen seni dalam satu persembahan dapat memberikan nafas baru kepada seni persembahan berpuisi. Sekaligus dapat menanamkan semangat cintakan seni puisi dengan lebih mendalam. Dalam puisidra, hubungan interaksi watak-watak amat penting bagi mewujudkan suasana dan cerita yang hendak disampaikan. Watak-wataknya berinteraksi atau berdialog bukan seperti dalam drama biasa tetapi melafazkan puisi dengan memberikan penekanan intonasi kepada setiap perkataan atau ayat. Tiada pengenalan spesifik mengenai watak-watak. Watak-watak dalam puisidra adalah bersifat umum, tiada jantina khusus kecuali kepada watak yang telah diperjelaskan perawakan tubuhnya. Untuk mementaskan puisidra, seseorang pelakon itu perlulah kreatif dan kritis serta mampu menjana imaginasi. Pemain bebas untuk bergerak namun masih perlu ditetapkan pergerakannya (blocking). Ini kerana puisi tidak seperti drama biasa lain yang telah diberikan panduan dan arahan tertentu baik dari segi perwatakan mahupun pentas. Pemahaman penonton terhadap pementasan puisidra amat bergantung kepada kekuatan pelakon menyampaikan mesej puisi melalui lakonan. Gerak lakon dan olahan tubuh juga tidak terlalu bebas sepertimana di dalam drama yang biasa. Pengolahan tubuh mesti sesuai dengan irama muzik dan mood yang disampaikan oleh puisi tersebut. Dari sudut teknikalnya pula, puisidra mementingkan kesan bunyi dan muzik. Kehadiran unsur atau elemen muzik adalah satu keperluan. Tidak kiralah apa jenis alat muzik, dimainkan baik secara live mahupun rakaman, elektronik atau ensemble. Elemen muzik menjadi penyeri mood dan suasana persembahan. Set Latarnya mudah dan hanya menggunakan simbol-simbol sahaja. Keadaan ini memerlukan permainan imaginasi penonton yang kuat.

Comments

Popular Posts