Monolog 7 Peti oleh Grup Penjara Malaysia
Rasa berbaloi perjalanan kali ini hampir 6 jam dari Penang ke Melaka. Niat untuk mencuri waktu melawat ibu tercinta dan kebetulan pula dalam masa sama ada pementasan monolog dari rakan2 pegawai penjara di Muzium Penjara Malaysia di Melaka. Sambil menyelam minum ayaq kata orang Penang. Setiap kali saya berpeluang menonton teater, saya akan cuba selidiki latar belakang produksi, siapa pembuatnya, apa dan mengapa ia dibuat. Saya tidak melihat sangat latar belakang populariti sebagai sandaran utama sebab populariti tiada makna apa-apa. Keutamaan saya adalah 'Hiburan yang bermesej dan bermatlamat'. Itu sudah menjadi prinsip dan pegangan saya setiap kali ingin menonton pementasan teater. Saya akan cuba teliti mencari sebarang mesej dan pemikiran yang disampaikan melalui watak, plot, dialog, simbolisme, dan sebagainya. Teater adalah kerja hakiki saya dan sebagai ahli akademik dalam bidang ini, menjadi tugas dan tanggungjawab saya untuk mencari, menyelusuri, menilai dan jika perlu, mengkritik hasil kerja teater yang ditonton untuk tujuan perkongsian dan pembelajaran saya dan pelajar saya.
Menonton pementasan teater gabungan dari sekumpulan para pegawai penjara seluruh Malaysia ini cukup mengujakan dan tidak pernah mengecewakan perasaan saya. Berpandukan tema kehidupan manusia yang tersalah arah yang akhirnya membawa kepada kehidupan dalam penjara merupakan mesej penting kepada masyarakat. Saya tidak akan menyentuh bab lakonan kerana itu bukan forte mereka. Namun saya tidak menafikan ada sebahagian mereka sangat berbakat dalam berlakon. Yang menjadi keutamaan saya adalah mereka menggunakan pementasan sebagai platform untuk menyampaikan mesej kemanusiaan yang menggalakkan empati, simpati, dan perubahan positif.
Empati dan simpati memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman penonton dalam pementasan, membolehkan mereka untuk terlibat secara mendalam dengan cerita dan mesej yang disampaikan. Penglibatan pegawai penjara dalam teater membantu membina empati dan mendorong rasa simpati penonton untuk merasai dan memahami pengalaman watak-watak banduan dengan lebih mendalam. Empati merujuk kepada kemampuan untuk merasai dan memahami perasaan serta pengalaman orang lain. Melalui pementasan, apabila penonton mampu merasai emosi dan pengalaman watak-watak, mereka lebih cenderung terlibat secara emosional dengan cerita. Ini dapat meningkatkan hubungan, kepuasan dan keinsafan penonton kepada pementasan. Manakala simpati pula merujuk kepada perasaan belas kasihan terhadap orang lain yang mengalami penderitaan atau kesukaran. Dalam konteks pementasan, simpati dapat mendorong penonton untuk merasa berempati terhadap watak-watak yang mengalami konflik atau kesulitan dalam cerita. Ini boleh mendorong refleksi dan pemikiran kritis tentang isu-isu yang dibangkitkan dalam pementasan, serta mendorong perubahan atau tindakan dalam kehidupan sebenar.
Para pegawai penjara mempunyai pengalaman yang unik dan mendalam ketika berurusan dengan banduan dan kehidupan dalam penjara. Melalui penglibatan dalam pementasan teater, mereka dapat menyampaikan pengalaman diri dan pandangan secara langsung kepada penonton, memberikan sudut pandangan yang lebih tepat, autentik, dan meyakinkan. Masyarakat akan lebih cenderung untuk menerima mesej yang disampaikan apabila ia dibawakan oleh individu yang mempunyai pengalaman langsung dalam bidang tersebut. Ini juga membantu memecahkan stigma stereotaip atau prasangka terhadap tugas dan tanggungjawab para pegawai penjara.
Melalui pementasan teater, para pegawai penjara dapat membantu menyoroti isu-isu sosial yang berkaitan dengan sistem kehakiman, pemulihan banduan, dan pencegahan jenayah. Masyarakat bukan sahaja dapat memahami lebih mendalam tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh banduan, malah dapat mencipta suatu kesedaran besar tentang keperluan untuk penyelesaian yang lebih baik. Mereka membantu membangunkan kesedaran dan kefahaman masyarakat tentang cabaran-cabaran yang dihadapi oleh banduan dan keperluan untuk melayani mereka secara berperikemanusiaan. Melalui pementasan teater yang bertemakan kehidupan banduan, para pegawai penjara membantu memberikan suara kepada golongan ini yang mungkin kurang didengari dalam masyarakat, serta menyumbang kepada usaha untuk memahami, memperbaiki, dan merombak kembali sistem kehakiman.
Malah bukan sesuatu yang mustahil, jika para pegawai ini boleh berpotensi untuk menjadi model dan inspirasi kepada banduan dan masyarakat luar melalui perbincangan mengenai isu-isu seperti kesilapan hidup dan perubahan.
Penglibatan pegawai penjara dalam pementasan teater turut mengukuhkan lagi slogan 'Teater Memanusiakan Manusia' apabila pengalaman kemanusiaan dapat dibina secara bersama antara para pegawai penjara dengan banduan. Mereka menggambarkan kisah-kisah kehidupan yang sebenar dan perasaan yang kompleks, menyoroti kesamaan dalam pengalaman manusia tanpa mengira latar belakang atau keadaan. Kerjasama unik ini menunjukkan sikap keterbukaan terhadap kepentingan kemanusiaan dalam setiap individu. Mereka menjadi agen perubahan yang mempromosikan pemahaman, penyembuhan, dan rehabilitasi, seiring dengan prinsip-prinsip Teater Memanusiakan Manusia. Usaha yang ditunjukkan oleh para pegawai penjara yang terlibat dalam pementasan teater berupaya menjadi sumber inspirasi kepada banduan khususnya dan masyarakat amnya di mana mereka berusaha menunjukkan komitmen mereka untuk memahami, membantu, dan memperbaiki kehidupan sesama manusia. Peranan pegawai penjara selari dengan mesej Teater Memanusiakan Manusia kerana pementasan teater bukan sekadar persembahan malah ia menjadi satu pengalaman pembelajaran, penyembuhan, dan perubahan yang memberi impak positif kepada semua yang terlibat.
Tahniah diucapkan kepada team Grup Teater Penjara Malaysia diterajui oleh Boss Fendy . Pementasan monolog 7 Peti ini mengandungi mesej dan pemikiran yang sangat luar biasa, bermanfaat besar kepada para pengunjung Muzium Penjara Malaysia. Tahniah juga kepada pentadbir Muzium Penjara Malaysia atas inisiatif mewujudkan variasi pameran dan persembahan hidup yg sangat bererti buat kita rakyat Malaysia.
#akubukanmanusiabaik
#stagelight
#livetheatre
#theatrelife
#theatre
#stagedirector
#teaterberilmu
#stage
#theatreworks
#rumahlakonrm
#Persatuanteatermalaysia
#leadership
#director
#theatrefanmalaysia
#theactorschannel
#stageCraft
#Performingartinmalaysia
#nextgenstagedirectors
#theatrethreesixty
#beritateatermalaysia
#suarateaternusantara
#kakiseni
#jomteater
#teatermalaysia
#beritateater
#teatermemanusiakanmanusia
#kakiseni
Comments