PRINSIP KEILMUAN UNTUK MENGKRITIK PEMENTASAN TEATER




Kritikan membicarakan soal intelek dan fikiran, memenuhi keinginan manusia yang berfikir, mengenai apa yang seharusnya ada dan apa yang seharusnya tidak ada. Tidak semua hal boleh dijadikan sasaran atau objek kritikan. Tidak semua benda yang wujud boleh dikritik. Rumput, kayu, pasir, atau Tuhan tidak boleh dijadikan objek kritikan. Sasaran kritikan ialah sesuatu fakta yang termasuk dalam lingkungan tanggungjawab manusia seperti politik, organisasi masyarakat, pendapat, bangunan, muzik atau kesusasteraan (Baharuddin Zainal, 1989. mks. 34). Pengkritik melihat sesuatu di depan matanya dan membandingkan dengan kenyataan lain yang seharusnya dilakukan oleh manusia. Dengan demikian ia melakukan perbandingan iaitu membandingkan sesuatu yang ada dengan sesuatu yang mungkin ada. Perbuatan membanding-bandingkan objek atau kenyataan ini merupakan aspek penting dalam kritikan.

Pemikiran tentang betapa pentingnya apresiasi dan kritikan drama atau teater telah muncul sejak tahun 1950an lagi dan terus berkembang sehingga kini. Dalam masa ini para pelibat teater mahupun audien telah lama mencari-cari beberapa pendekatan yang sesuai untuk memahami, menganalisis dan mengkritik bidang teater. Namun fikiran-fikiran itu tidak pernah matang, malah kegiatan kritikan itu telah berjalan secara tidak seimbang dan wajar. Kita melihat telah timbul bermacam-macam bentuk kritikan terhadap teater baik bersifat membina mahupun menjatuhkan. Hampir 70% pengkritik teater yang ada di negara ini mengkritik sesebuah teater hanya berdasarkan naluri dan tahap penerimaan individu tertentu sahaja. Seperti yang dinyatakan oleh Mana Sikana; “…trend kritikan sastera Melayu dewasa ini pun sememangnya tendensinya ke arah pendekatan moralistik; melihat aspek pengajaran dan guna karya kepada masyarakat…” (Mana Sikana, 1995, mks.10). Lebih parah lagi, kebanyakan pengkritik ini bukannya mereka yang benar-benar mahir atau mempunyai pengetahuan di dalam bidang teater. Mereka sekadar menonton satu atau dua pementasan dan kemudian menghasilkan satu kritikan terhadap pementasan tersebut menurut kehendak mereka. Sekiranya persembahan teater yang ditonton memenuhi keinginan, kehendak, dan ada kepentingan peribadi maka teater tersebut akan dipuji dan dijulang setinggi gunung dan seandainya persembahan tersebut dirasa membosankan maka tohmahan dan kejian pula yang akan dilemparkan. Oleh kerana itulah kita sering terbaca di akhbar tentang kritikan-kritikan teater yang berbunyi; “…skrip menarik tetapi lakonan agak hambar dan tidak konsisten…”, “…pelakon agak lemah dan teknik persembahan juga membosankan…”. Ayat-ayat sebegini sudah menjadi lumrah di dalam mana-mana kritikan teater di negara ini. 

Berlakunya fenomena ini disebabkan oleh pertama; ketidakfahaman terhadap konsep dan pengertian teater yang sebenar. Kebanyakan pengkritik sambilan yang wujud di negara ini tidak begitu memahami kepelbagaian konsep atau genre dalam seni persembahan teater. Pengkritik di Malaysia lebih terdedah kepada genre realisme manakala genre-genre lain dikesampingkan. Disamping tidak memahami maksud dan pengertian kritikan yang sebenar. Kritikan itu dianggap sebagai satu laporan hasil penerimaan emosi melalui tontonan sebuah pementasan. Sedangkan untuk menulis sesuatu kritikan itu, penulis perlu mempunyai ilmu penulisan kritikan yang tinggi. Kritikan tidak semestinya menghentam atau menjatuhkan sebaliknya ia adalah satu review yang berdasarkan kepada teori-teori yang menyokongnya. 

Kedua; kecetekan dalam ilmu teater di kalangan para pengkritik sambilan yang wujud di negara ini. Kebanyakan pengkritik teater di negara ini tidak mempunyai latar pendidikan formal di dalam bidang seni teater. Mereka menceburi bidang kritikan ini disebabkan tugas yang diamanahkan oleh majikan seperti penulis akhbar misalnya. Mereka bergantung kepada pengalaman menonton dan kefahaman yang mereka miliki. Untuk mengkritik sebuah pementasan teater, seorang pengkritik perlu mempunyai ilmu khususnya dalam seni teater. mereka harus memahami konsep dan bentuk sesebuah genre kerana setiap genre itu mempunyai pendekatan dan teorinya tersendiri. 

Ketiga; wujudnya hubungan, konflik atau suatu kepentingan peribadi antara pengkritik dengan kumpulan produksi yang menghasilkan pementasan. Menjelang festival teater misalnya, acapkali kedengaran kritikan yang berat sebelah, kelihatannya memihak kepada sesuatu kumpulan atau produksi. Ada ketikanya kelihatan kritikan yang memuji secara keterlaluan, mengangkat kehebatan sebuah persembahan setinggi langit dan ada juga persembahan yang dikritik dan dihentam dibenam semahunya. Pengkritik adalah manusia biasa dan bebas memilih untuk rasa suka dan tidak suka dengan apa yang ditontonnya. Terdapat pengkritik yang keras egonya mempertahankan prinsip realisme misalnya dan menolak sama sekali genre surealisme, maka apabila ia menonton sebuah pementasan yang bercanggah dengan prinsip dan keegoannya maka ia akan langsung menolak bulat-bulat tanpa sebarang rasa simpati. 

Dan keempat ialah untuk kepentingan pemasaran dan publisiti. Dalam hal ini pengkritik bukan lagi mengkritik berdasarkan teori dan pendekatan ilmiah sebaliknya akan menjadikan kritikannya bersifat untuk membantu mempromosi sebuah persembahan. Kritikan sebegini akan merosakkan dunia kritikan kerana ia pasti akan menghasilkan sebuah laporan yang berat sebelah. Selagi `penyakit-penyakit ini tidak diatasi atau dibendung, maka selama itulah kita akan menyaksikan situasi yang serupa berulang. 

Sebelum seseorang itu mengkritik, ia seharusnya tahu dan mengerti apa yang mahu dikritiknya dan bagaimana caranya untuk mengkritik. Setiap kritikan perlu mempunyai nilai dan norma. Nilai adalah konsepsi mengenai apa yang dianggap baik dan hendak dituju. Nilai sukar untuk dibuktikan kebenarannya. Ia lebih merupakan sesuatu yang dipersetujui atau tidak. Norma pula ialah ukuran-ukuran yang mengatur cara mencapai nilai. Tanpa pengertian nilai dan norma, kritikan tidak dapat dilakukan. 

Kritikan teater ialah melihat komponen-komponen teater seperti spektakular, kekaguman pendramaan, muzik, audien dan apa sahaja yang ada kaitan dengan pementasan (Mana Sikana, 1995, mks. 64). Seseorang yang ingin mengkritik mengenai teater perlulah mempunyai pengetahuan dan penguasaan aspek-aspek pementasan. Justeru itu, sudah pasti kemahiran, ketrampilan dan pengetahuan teknologi pentas sangat diharapkan. Seseorang yang tidak mengetahui hal-hal berkenaan sudah tentu tidak dapat mengerjakan kritikan ini. Perspektif yang lebih luas daripada daerah pementasan juga diperlukan malah pengetahuan di dalam kritikan penskripan juga menjadi prasyarat untuk seseorang itu menjadi pengkritik di dalam teater. Teater dari sudut persembahan memang nampak mudah namun untuk ke arah penghasilannya adalah agak sukar, sehinggakan para penggiat teater yang telah lama berkecimpung di dalam bidang ini juga enggan memberikan komen terhadap sesuatu sudut pementasan, apatah lagi di dalam era perkembangan teater bercorak eksperimentasi kini. Pelbagai bentuk teater terhasil dan setiap pengarah produksi mempunyai sudut pandangan tersendiri terhadap produksinya. Setiap hasil pementasan yang tercetus itu berbeza penilaian serta titik noktahnya. Lain pula keadaannya di tahun 60an dan 70an. Melihat sahaja kepada pementasan teaternya, kita sudah boleh mengenalpasti bentuk teater yang terhasil samada ia berbentuk realistik atau absurdistik. Ketika itu tidak sukar untuk sesiapa sahaja menghasilkan kritikan teater kerana landasan untuk kritikan teater bercorak realistik dan absurd memang sudah tersedia. 

Memang pada dasarnya kritikan itu boleh bersifat bebas dan kita berhak untuk menyuarakan isi hati dan pandangan, namun harus diingat bahawa seni teater ini bukanlah semata-mata hanya sebuah seni persembahan bersifat hiburan atau pertandingan sahaja, malah ia merupakan sebuah seni persembahan yang mempunyai sudut pandangan bersifat global; kritikan, sindiran, hiburan, provokasi dan nasihat. Paling utama ia mengandungi struktur-struktur merangkumi aspek dengar (auditory); dialog, rentak vokal, susunan dialog dan alat vokal (pelakon), lihat (visual); cahaya,kostum, pereka, ruang, prop, tata rias, fabrik dan pelakon, dan gerak (kinetic); masa, pelakon, skrip, dan pereka . Menurut August W. Staub di dalam bukunya Creating Theatre; The Art of Theatrical Directing, menyatakan bahawa para pengkritik tidak boleh sewenang-wenangnya menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap sesebuah teater yang ditontonnya tanpa mendalami dan menyusuri susur galur produksi yang mementaskan teater tersebut. Biasanya pengkritik teater akan melihat terlebih dahulu tenaga produksi yang menyumbang ke arah pementasan tersebut seperti pengarah, penulis, pelakon dan para perekanya. Ada berbagai cara atau metod kritikan yang boleh dilakukan. Pertama, dengan membuat ulasan atau sorotan mengenai semua aspek pementasan seperti lakonan, pengarahan, latar dan sebagainya. Kedua, kritikan terhadap sudut-sudut tertentu sahaja seperti mengkritik aspek lakonan sahaja; gerakan dan motivasi, suara, perwatakan, hubungan sesama pelakon dan hubungan dengan audien dan lain-lain (Courtney, Rochard. 1974, pg. 52). 

Teater adalah pemikiran, oleh itu pemikiran oleh seseorang pengarah dengan pengarah yang lain dalam melihat sebuah skrip yang sama tidak semestinya serupa, begitu juga halnya dengan pemikiran dan peranan lain-lain tenaga produksi yang telah dinyatakan sebelum ini. Teater terdiri beberapa komponen seperti pemikiran, plot, watak, dialog, latar, kekaguman pendramaan dan audien. Berbeza dengan cerpen atau novel, dalam teater tidak disebut tema tetapi pemikiran. Pemikiran adalah persoalan dan makna penting yang tersembunyi di dalam karya, berbeza denga tema sebagai pokok persoalan. Adalah menjadi satu kemestian kepada mereka yang ingin menjadi pengkritik teater perlu mengetahui sedalam-dalamnya selok-belok pementasan itu sendiri. Dalam lakonan misalnya, ada berbagai-bagai jenis dan bentuk lakonan, bergantung kepada skrip yang dipentaskan itu. Antaranya melodramatik, realistik, naturalistik dan sebagainya. Lakonan melodramatik lebih sesuai untuk drama sejarah yang menekankan kepada aksi-aksi melankolik dan berlebih-lebihan. Sementara realistik pula sesuai untuk drama bercorak realisme; bersahaja, suasana sehari-hari dan bahasanya juga bahasa sehari-hari Casey, John. 1966, pg. 56). 

Seni teater mempunyai peraturannya tersendiri, dan dengan berpandukan serta melalui pemahaman yang teliti kepada tiga elemen yang saling berkaitan ini, maka barulah layak untuk seseorang itu menilai atau memberikan pandangan dan kritikan terhadap sesebuah persembahan teater yang ditontonnya. Kritikan melibatkan aspek pemahaman, keberkesanan, nilai dan faedah Apa yang ingin disampaikan dan dilakukan oleh pengarah, penulis dan lain-lain pengurus produksi? Sejauh manakah keberkesanannya dan faedah yang bakal diperolehinya? Dari sudut pemahamannya, seseorang pengkritik itu seboleh-bolehnya mengkaji terlebih dahulu skrip yang dipentaskan itu. Pengkritik mesti memahami tentang kehidupan penulis, hasil kerja-kerja terdahulunya serta merujuk kembali segala kritikan mengenai karya penulis tersebut. Selain dari itu, pengkritik juga mestilah berusaha merujuk segala kritikan mengenai pementasan drama yang sama oleh produksi yang berlainan. Dari sudut keberkesanan pula, pengkritik seharusnya melihat kepada intensi drama tersebut dan penafsiran yang dibuat oleh pengarah terhadap skrip yang dipentaskan. Biasanya penulis tidak menjelaskan secara terang-terangan intensinya dalam skrip. Intensi akan hanya terpancar melalui konflik yang ditonjolkan, perwatakan, idea dan konsep produksi. Penafsiran pengarah terhadap skrip akan hanya dapat dikenalpasti melalui apa yang didengar dan dilihat semasa pementasan berlangsung, buku program ataupun semasa berlangsung publisiti kenyataan akhbar. Pada dasarnya setiap pengarah akan cuba untuk memaparkan apa yang dinyatakan di dalam skrip, namun realitinya pengarah akan menjadikan skrip itu sebagai landasan untuk membentuk konsep pementasan yang disesuaikan dengan visinya sendiri. Contohnya sebuah karya oleh Mozart iaitu Don Giovanni yang berkisar tentang moral dan taraf wanita di abad ke 17 di Sepanyol telah dipentaskan kembali dalam tahun 1980 di New York dengan menggubah isunya kepada keganasan dan penagihan dadah (Oscar g. Brocjett, 1980. mks. 33) Dalam hal ini pengkritik seharusnya cuba melihat sejauh manakah interpretasi pengarah itu berkaitan dengan intensi oleh penulis tersebut. Para pengktritik akan melihat seolah-olah pengarah sudah jauh menyimpang dari tujuan asal si penulis tetapi jika kita melihat kepada sudut keberkesanan dan tujuan yang ingin dicapai oleh pengarah, pastinya suatu rumusan lain akan terhasil. Dari sudut nilai dan faedah yang bakal diperolehi dari pementasan itu sebenarnya tiada had atau garis panduan yang boleh menentukannya. Mengapa kawan kita tidak menyenangi sebuah drama atau filem yang kita minati? Berdasarkan kepada garis panduan apakah sesuatu kenyataan mengenai sesebuah pementasan itu dibuat? Pendapat dan pertentangan ini sekiranya dilihat secara mendalam akan menunjukkan bahawa setiap dari kita melihat sesuatu hasil yang sama itu dari sudut yang berlainan. Setiap pengkritik mempunyai sudut pandangannya tersendiri dalam mengkritik sesebuah pementasan. Ada yang melihat kepada hubungkait isu semasa dengan isu yang dipaparkan di dalam pementasan, ada yang melihat dari sudut kekuatan emosi, perlakuan manusia serta kebolehan pementasan tersebut untuk tujuan hiburan. Kebanyakan pengkritik kurang sedar akan pre-konsepsi dan prejudis yang terkandung di dalam penilaian mereka. Oleh yang demikian, seharusnyalah dijelaskan tingkatan-tingkatan kepuasan dan ketidakpuasan dalam menilai sesebuah pementasan agar tidak berlakunya keadaan di mana sebuah pementasan yang dirasakan begitu menusuk kalbu akan dianggap memenuhi kepuasan sementara pementasan yang gagal memenuhi citarasa dianggap tidak memuaskan. Di dalam menilai keberkesanan kritikan yang dibuat, seseorang pengkritik mestilah bertanyakan dirinya beberapa soalan; 

Adakah aku mampu menerima sesuatu idea yang janggal? 

Adakah aku merasa kurang selesa dengan isu moral yang dianggap bertentangan dengan nilai yang dipegang? 

Adakah terdapat beberapa subjek yang dirasakan tidak boleh ditonjolkan di atas pentas? 

Apakah standard yang digunkana untuk menilai sesebuah pementasan? 

Apakah bentuk dan jenis persembahan itu? 

Siapakah pengarangnya dan sejauh manakah maklumat yang aku perolehi mengenai penulis dan karyanya? 

Bila dan di mana pementasan itu dibuat? 

Siapakah yang terlibat di dalam produksi tersebut? 

Apakah matlamat utama produksi itu? 

Sejauh manakah produksi itu mampu mencapai matlamat tersebut ? 

Perlukah orang lain menontonnya? Kenapa? 

Adakah para pengkritik teater di Malaysia ini benar-benar memahami akan konsep elemen-elemen tersebut dan mengkritik menuruti landasan atau sekadar menurut hawa nafsu semata? Untuk menjawabnya, kita seharusnya merenung kembali kata-kata oleh Aristotle ini; “Teater bukanlah ciptaan dari sesuatu kejadian tetapi peniruan terhadap segala sesuatu dan suasana. Seni bukanlah suatu yang hidup. Aksi yang terpancar dari seni tidak sama dengan aksi yang tercermin dalam kehidupan” (August W. Staub, 19 . mks. 8). 

Apabila kita melihat kepada perkataan `peniruan’, ia bermaksud setiap yang terhasil di dalam teater hanyalah sebagai suatu refleksi dari kejadian yang sebenar. Oleh itu apa yang terhasil itu tidak semestinya bersamaan seratus peratus dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Contohnya seperti jam tiruan berjenama, rupanya seakan-akan jam berjenama tulen tetapi pastinya ada yang tidak sama, mungkin dari segi kualiti penghasilan dan jaminan mutu ketahanannya. Begitu juga halnya dalam bidang kritikan teater, seseorang pengkritik itu tidak seharusnya dibenarkan terlalu berkuasa untuk menilai dan menghukum sesebuah persembahan itu sebagai persembahan yang berkualiti atau sebaliknya melainkan dengan adanya teori pengukuhan metodologi, huraian-huraian dan sandaran ilmiah terhadapnya. Jelas sekali bahawa kritikan teater memerlukan keberanian dan kesungguhan di kalangan pengamalnya. 

Apapun cara kritikan yang dipakai, seseorang pengkritik haruslah memiliki syarat-syarat tertentu. Ia seharusnya terlbih dahulu tahu akan hakikat kesusasteraan; konsep, unsur-unsur kelahiran dan kehidupan kesusasteraan. Mengetahui berbeza dengan mengalami. Seseorang pengkritik mestilah mempunyai pengetahuan mengenai teknik yang dipakai oleh sasterawan dan mampu menunjukkan kualiti-kualiti baik dan unsur-unsur yang kena pada tempatnya atau yang salah letak dalam sesuatu karya atau produksi. Disamping mengetahui kesusasteraan, pengkritik juga mengetahui hal-hal sekitar iaitu tradisi, sejarah, masyarakat dan penulis yang melahirkannya. Latar pembacaan yang luas, rasa seni yang tinggi, kematangan fikiran dan kemampuan untuk menilai dan menghakimi adalah di antara persediaan-persediaan yang seharusnya ada pada setiap yang mahu berbicara dan mengkritik. Ia juga seharusnya berani mempertanggungjawabkan penilaiannya secara objektif kerana kritikan bukan sekadar pendapat yang subjektif tetapi adalah satu keputusan yang bersebab dan beralasan. 

Secara keseluruhannya, seseorang pengkritik itu mestilah mempersiapkan diri dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam ilmu pementasan terutamanya teater. Mengkritik itu bukan hanya berat kepada menghentam atau menjatuhkan sebaliknya perlu juga membantu, membina dan memberi rangsangan yang positif kerana di tangan pengkritik lah seni teater mampu berkembang dan menerima pandangan positif di kalangan masyarakat. Pengkritik jangan sesekali menjadi dogmatik atau enggan menerima pandangan-pandangan lain. Teater sentiasa berubah dan pengkritik juga seharusnya bersedia untuk mampu mengadaptasikan dirinya dengan sebarang keadaan dan perubahan. Dunia teater mestilah menjadi sebahagian dari kehidupan budaya kita yang mampu mencerminkan keintelektualan bangsa dan tamadun yang bebas dan merdeka. 

 Rujukan 


1.Ayob Yamin & Hamzah Hamdani, 1989, Penulisan Kreatif (Kumpulan Esei Ceramah), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. 

2.Mana Sikana, 1995. Drama Melayu Moden, Shah Alam; Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 

3.Courtney, Rochard. 1974. Play, Drama and Thought, New York; Drama Book Publisher. 

4.Casey, John. 1966. The Language of Criticism, London; Metheun & Company. 

5.August W. Staub. Creating Theater; The art of Theatrical Directing. New York; Harper & Row Publishing. 

6.Oscar G. Brockett. 1980. The Essential Theatre, 6th ed. Florida; Holt, Rinehart & Winston Inc.

Comments

Popular Posts