PENGAJIAN SENI PERSEMBAHAN; PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB UNIVERSITI AWAM (UA) DI MALAYSIA
A)Universiti Penyelidikan
Universiti Sains Malaysia (USM) - program khusus
Universiti Malaya (UM) - program khusus
Universiti Putra Malaysia (UPM) - kursus pelengkap
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) - kursus pelengkap
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) - program khusus
Universiti Utara Malaysia (UUM) - program khusus
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) - program/elektif khusus
C)Universiti Komprehensif
Universiti Teknologi Mara (UiTM) - program khusus
Universiti Malaysia Sabah (UMS) - program khusus
Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) - program khusus
Pertambahan ini turut membawa kepada peningkatan minat pelajar terhadap pengajian teater di peringkat universiti. Seiring dengan pertumbuhan bidang teater, kurikulum untuk program-program teater di universiti awam turut diperkukuhkan. Ini termasuklah penambahan mata pelajaran yang lebih relevan dengan perkembangan semasa dalam dunia teater seperti teknologi dalam seni lakonan, teater digital, dan pengurusan acara seni. Institusi pengajian teater di Malaysia semakin aktif menjalin hubungan dengan institusi-institusi serupa di luar negara. Ini termasuklah pertukaran pelajar dan pensyarah, serta kerjasama dalam projek-projek teater berskala antarabangsa. Seiring dengan peningkatan minat dan penambahbaikan dalam pendidikan teater di peringkat pengajian tinggi, industri teater di Malaysia juga berkembang. Ini memberikan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi graduan program teater. Program-program teater di Universiti Awam Malaysia juga semakin dikenali di peringkat antarabangsa melalui penyertaan dalam pertandingan-pertandingan teater peringkat antarabangsa dan pencapaian pelajar-pelajar serta alumni dalam industri teater. Terdapat juga peningkatan dalam penyediaan kemudahan fasiliti dan infrastruktur untuk sokongan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang teater. Ini termasuklah panggung teater, studio lakonan, makmal teknologi, dan kemudahan untuk rakaman. Dari sudut perkembangan seni pementasan, ia dilihat sebagai sesuatu yang positif. Peluang dan ruang untuk peminat bidang seni pementasan melanjutkan pengajian atau mempelajari bidang teater terbuka luas.
Walau bagaimana pun, di sebalik kewujudan begitu banyak universiti awam yang menawarkan bidang pengajian seni persembahan khususnya teater, impaknya kepada pembangunan bidang teater secara keseluruhan masih belum begitu memberangsangkan. Ini disebabkan oleh beberapa faktor seperti kebanyakan skop pengajian dalam bidang teater yang ditawarkan oleh kebanyakan universiti awam hampir serupa sahaja iaitu proses persiapan ke arah menjadi pelakon, menjadi sutradara, menjadi seorang penata artistik serta proses mengurus dan membina sebuah produksi teater yang baik. Cuma barangkali kaedah pendekatan, dan amalinya yang berbeza merujuk kepada keupayaan dan kemampuan tenaga pengajarnya dan keupayaan fasiliti institusi berkenaan. Program-program teater yang ditawarkan juga adakalanya lebih menumpukan kepada aspek teknikal dan pengurusan produksi, dan kurang memberi penekanan kepada pembangunan keupayaan kreatif dan inovatif pelajar dalam proses kreatif teater. Dalam konteks industri seni lakonan yang semakin kompetitif, penekanan dan penumpuan kepada pengembangan aspek keusahawanan dan kemahiran pemasaran dalam program-program teater masih agak lemah dan ia boleh menghalang graduan dari memasuki pasaran kerja dengan keyakinan dan kecekapan yang mencukupi. Walaupun terdapat peningkatan dalam penyediaan fasiliti dan infrastruktur, masih terdapat beberapa institusi pengajian yang masih mengalami kekurangan dalam aspek ini. Kurangnya kemudahan fasiliti seperti studio lakonan yang lengkap, kemudahan fasiliti teknikal, dan ruang panggung yang sesuai sedikit sebanyak menghalang pengalaman pembelajaran yang optimum.
Selain itu masih terdapat juga beberapa universiti awam yang kurang memberikan perhatian dalam apek mengemaskini kurikulum pengajian mereka dengan perkembangan terkini dalam industri teater. Ini mengakibatkan wujudnya jurang antara keperluan industri dengan kemahiran yang diajar di universiti. Kemunculan begitu banyak pusat pengajian teater di dalam beberapa universiti awam telah turut mewujudkan cabaran baru di mana berlakunya usaha perebutan calon pelajar untuk memasuki institusi pengajian yang menawarkan pengajian teater. Keadaan ini secara tidak langsung telah menimbulkan satu bentuk persaingan yang kurang sihat dalam kalangan pusat pengajian ini. Ini jelas kelihatan setiap kali menjelang sesi pemilihan dan kemasukan calon pelajar ke pusat pengajian tinggi. Wujud juga persaingan `perebutan’ tenaga pengajar berpengalaman dan keupayaan institusi untuk mengekalkan tenaga pengajar yang berkelayakan dan berpengalaman dalam bidang teater di sesebuah institusi telah mengakibatkan tahap pengajaran dan mentorship di sesebuah institusi menjadi kurang konsisten. Persaingan memang perlu namun untuk sebuah bidang yang masih dianggap terlalu muda, masih berusaha bertapak untuk menjadi sebuah industri, rasanya persaingan tersebut bukanlah wajar. Untuk mengatasi permasalahan ini, beberapa langkah strategik perlu diambil.
Memandangkan ada lapan buah universiti awam yang menawarkan bidang seni persembahan secara khusus, adalah wajar jika dapat diwujudkan hubungan kerjasama antara pusat pengajian tinggi ini untuk mengembangkan program-program bersama yang dapat memberikan manfaat kepakaran akademik sedia ada. Bidang penawaran yang biasanya ditawarkan di setiap UA hampir serupa skopnya iaitu aspek penyutradaraan, sinografi, pengurusan artistik dan produksi dan lakonan. Walaupun setiap institusi ini mempunyai kepakaran akademianya dalam bidang-bidang yang dinyatakan, namun alangkah baik jika kepelbagaian kepakaran itu dapat diselenggarakan dan digembelingkan secara maksima, optima dan berkelompok. Setiap pusat pengajian teater perlut bekerjasama untuk mengembangkan program-program bersama mengikut kepakaran dan fokus yang telah dikenalpasti. Kepakaran tersebut juga boleh digemblengkan melalui penyelidikan, penganjuran projek-projek kerjasama, persembahan gabungan, seminar bersama, atau penghasilan karya secara kolektif. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos kewangan, masa, menjalinkan hubungan yang lebih erat antara ahli akademia, perkongsian ilmu secara menyeluruh, malah menjadikan hasil pengeluaran graduan bidang ini lebih efektif dan efisien. Penyelidikan dan penganjuran bersama seminar serta simposium antara UA bukan sahaja menjimatkan kos dan masa malah dapat meningkatkan kualiti penyelidikan, diskusi dan perbahasan dalam industri teater, mengeksplorasi inovasi dalam metod pengajaran, serta membantu memberikan idea mendalam tentang aspek-aspek tertentu dalam seni persembahan. UA akan berperanan sebagai pusat rujukan utama kepada penggiat, pengamal dan pembuat dasar berkaitan dengan bidang seni persembahan di Malaysia. Disamping itu, pertukaran dan perkongsian staf pendidik antara UA dapat memberikan variasi dalam aspek pengajaran dan kaedah, sekaligus dapat membantu mengembangkan kepakaran masing-masing serta dapat memberikan memberikan pandangan dan pengalaman baharu kepada pelajar. Ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan tenaga pengajar dalam sesetengah bidang di sesetengah institusi pengajian. Selain itu ia juga dapat mendorong mewujudkan hubungan kerjasama antara para pentadbir fakulti yang menawarkan bidang seni persembahan untuk merancang dan menghasilkan kajian-kajian penyelidikan bersama yang lebih bermakna dan mendalam yang akhirnya dapat membantu menciptakan sebuah lingkungan dunia akademia yang lebih dinamik.
Dengan adanya gabungan dan kerjasama antara institusi ini, dengan menekankan kepada kepakaran khusus yang ada pada setiap ahli akademia, program-program yang lebih spesifik dan unik boleh diwujudkan di setiap pusat pengajian tinggi seperti teater eksperimental, teater komuniti, teater terapi dan lain-lain pendekatan spesifik yang berkaitan dengan bidang seni persembahan teater. Gabungan dan kerjasama ini juga memberi peluang kepada kewujudan pelbagai penawaran kursus sama ada kursus pengkhususan atau pelengkap dalam bidang tertentu yang dapat menjadikan program-program tersebut berbeza antara satu sama lain. Kepada kalangan ahli akademia, ia dapat mendorong ke arah pendekatan kreatif dan inovatif dalam pengajaran dan pembelajaran dengan menggalakkan perlaksanaan projek-projek eksperimental atau produksi teater yang unik, yang dapat meningkatkan reputasi program dan menciptakan keunggulan yang kompetitif.
Dengan adanya hubungan kerjasama ini akan turut membantu membolehkan penawaran program-program teater yang lebih berkualiti tinggi serta relevan dengan keperluan industri teater. Sekaligus dapat meningkatkan keupayaan fasiliti sedia ada yang mana ia dapat digunapakai secara bersama agar dapat memberikan pengalaman belajar yang lebih baik kepada mahasiswa seni persembahan. Kerjasama ini turut memberikan impak kepada pelajar bidang seni persembahan pelbagai institusi pengajian secara keseluruhan melalui penganjuran projek kolaborasi seperti produksi film pendek, projek teater eksperimental, dokumentasi, persembahan gabungan yang melibatkan mahasiswa dari pelbagai institusi seperti produksi teater secara bersama atau kolaborasi dalam festival teater. Projek usahasama begini bukan hanya meningkatkan keupayaan praktikal pelajar tetapi juga dapat mengembangkan usaha kerja berpasukan antara institusi. Kerjasama ini juga dapat mendorong lebih banyak penyertaan dalam pertandingan atau festival teater secara bersama yang akan dapat meningkatkan profil dan reputasi program masing-masing. Persembahan sebegini bukan hanya akan memperkayakan pengalaman belajar mahasiswa tetapi juga dapat menciptakan kesempatan untuk pertukaran idea dan pengetahuan di antara tenaga pengajar.
Setiap institusi yang menawarkan bidang seni persembahan teater dapat duduk bersama untuk melakukan penilaian kendiri bagi mengevaluasi keberhasilan dan kelemahan program-program teater yang ditawarkan. Perbincangan secara terbuka melibatkan pelbagai pihak berkaitan dapat dijadikan sebagai usaha penambahbaikan. Lakukan penilaian berkala terhadap program dan strategi pemasaran. Maklumbalas dari pelajar, alumni, dan pemegang taruh juga boleh dimanfaatkan untuk terus meningkatkan kualiti dan tarikan kepada sesebuah institusi. Manfaatkan potensi alumni yang telah bergraduat dan berkecimpung dalam dunia teater untuk memberikan testimoni, menjadi mentor, atau membantu dalam promosi institusi pengajian. Kisah kejayaan alumni akan dapat menjadi daya tarikan tersendiri. Melalui penyesuaian kurikulum dengan keperluan pasaran kerja dan trend industri teater masa kin, pelajar akan lebih tertarik pada program yang memberikan persediaan bakat yang sesuai dengan permintaan industri.
Selain itu, pembentukan jaringan kerja dengan industri yang sesua dapat dilakukan dengan berkesan. Kerjasama dan kolaborasi antara UA ini akan dapat membangunkan dan memperluaskan jaringan industri teater dan seni persembahan dengan pelbagai pihak baik di dalam mahu pun luar negeri secara bersama. Kerjasama ini akan memudahkan perancangan penyediaan ruang dan peluang untuk tempat latihan industri, mengatur sesi lawatan ke industri, atau rancangan penganjuran projek-projek kolaborasi dengan pengamal industri yang sekaligus dapat memberikan pengalaman langsung kepada pelajar. Hubungan ini dapat memberikan kesempatan kepada pelajar untuk mendapatkan pengalaman dan hubungan langsung di industri dalam tempoh pengajiannya. Kemudahan jalinan hubungan kerjasama industri yang diwujudkan, proses untuk mendapatkan perakuan dan pengiktirafan dari industri akan dapat dilaksanakan dengan baik.
Secara keseluruhannya, kerjasama antara UA dapat menciptakan hubungan yang lebih erat dan berfokus pada kualiti, yang akhirnya dapat mengurangi persaingan yang kurang sihat serta memberikan manfaat yang lebih besar kepada usaha memperkembangkan teater secara keseluruhan. Kerjasama ini juga akan dapat menciptakan ekosistem yang lebih luas, meningkatkan tahap visibiliti dalam industri, dan memberikan manfaat yang lebih besar kepada pelajar dan komuniti seni persembahan secara keseluruhan yang akhirnya mampu menjadikan seni berteater sebagai sebuah industri yang dapat menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Comments