TEATER KOMUNITI
Menurut American Association of Community Theatre menyatakan bahawa Teater komuniti merujuk kepada sebarang bentuk persembahan teater yang dibuat berkaitan atau untuk komuniti tertentu. Ia boleh merujuk kepada produksi yang dibuat sepenuhnya oleh komuniti tanpa bantuan luar, atau kerjasama antara ahli komuniti dan artis teater profesional, atau persembahan yang dibuat sepenuhnya oleh profesional yang ditujukan kepada komuniti tertentu. Kebanyakan amalan Teater Komuniti era kontemporari dibangunkan berdasarkan pendekatan teori falsafah pendidikan oleh Paulo Freire mengenai pedagogi kritikal dalam teater dan teknik pelaksanaannya telah dibina oleh Augusto Boal iaitu Theatre of the Oppressed. Pendekatan oleh Freire ini cuba merangsang perubahan sosial dengan menggalakkan penonton untuk membina keupayaan berfikir secara kritis melalui penglibatan dialog secara aktif. Peserta akan cuba mengenalpasti isu-isu yang dibangkitkan, dan membincangkan pelbagai kaedah penyelesaiannya melalui kepelbagaian sudut perspektif. Teater komuniti jarang dipersembahkan dalam auditorium atau panggung khusus tetapi di jalanan, tempat awam, ruang sekolah, penjara, atau lain-lain institusi, mengundang penonton secara spontan untuk menonton. Teater komuniti boleh berbentuk devised theatre; kaedah penghasilan kreasi kolektif secara separa improvisasi samada dari karya sedia ada atau naskah hasil dari kerja kolaboratif berkumpulan melalui kaedah improvisasi.
Beza antara Community-Based Theater dengan Teater Komuniti.
Community-based theater dan community theater adalah dua istilah yang sering digunakan dalam dunia teater. Secara praktikalnya, kedua-duanya saling diamalkan secara bersama. Namun terdapat beberapa perbezaan umum antara kedua-duanya. Teater Komuniti biasanya lebih memfokuskan kepada produksi persembahan teater. Para pelibatnya terdiri dari anggota komuniti yang memiliki minat atau bakat dalam bidang teater, tanpa memandang latar belakang atau pengalaman mereka dalam dunia seni. Tujuan utama teater komuniti adalah untuk mencipta dan mempersembahkan karya teater (pelbagai genre) di hadapan komuniti setempat. Manakala Community-based theater lebih menekankan kepada aspek penglibatan secara aktif dan pendidikan melalui teater. Aktiviti tersebut mencakupi pembinaan karya, latihan lakonan, atau pengembangan bakat anggota komuniti. Ia lebih memfokuskan kepada isu-isu sosial atau politik. Teater digunakan sebagai alat untuk mengatasi masalah-masalah yang berlaku dalam masyarakat bagi tujuan mendorong perubahan sosial. Community-based theater lebih fleksibel sifatnya dalam menggunakan pelbagai bentuk seni, termasuk drama, tari, seni rupa, dan lain-lain bentuk seni untuk mencapai tujuannya.
Konsep Teater Komuniti:
Teater komuniti memberikan penekanan kepada penglibatan masyarakat setempat dalam semua aspek produksi, termasuk penulisan naskah, penyutradaraan, perancangan set, dan lakonan. Kerjasama menjadi kunci utama di mana anggota masyarakat bekerjasama sesama mereka atau dengan penggiat teater profesional untuk menghasilkan dan menyampaikan cerita yang relevan dengan komuniti mereka. Teater komuniti mementingkan narasi dan penceritaan yang berkait langsung dengan kehidupan dan masalah masyarakat setempat, sehingga memperkuatkan identiti dan rasa kepemilikan terhadap produksi tersebut. Teater komuniti membuka pintu bagi semua anggota masyarakat, tanpa memandang usia, latar belakang, atau tingkat keupayaan, untuk terlibat dalam kegiatan berteater menjadikannya sebagai hak milik bersama. Teater komuniti memberikan peluang kepada anggota masyarakat untuk mengembangkan bakat seni, baik di bidang lakonan, rekaan, atau produksi lainnya, melalui proses pembelajaran yang berterusan.
Faedah Teater Komuniti:
Teater komuniti dapat mengeratkan hubungan sosial antara anggota masyarakat, mewujudkan rasa kebersamaan dan solidariti. Teater komuniti memberikan kesempatan kepada individu untuk mengembangkan bakat baru, meningkatkan rasa kepercayaan diri, dan kebolehan berkomunikasi. Teater komuniti membolehkan masyarakat merenung kembali isu-isu sosial dan budaya yang relevan, dan menciptakan diskusi yang dapat meningkatkan pemahaman dan perubahan. Teater komuniti merangsang kreativiti individu dan kelompok, memberikan ruang ekspresi bagi idea dan bakat yang mungkin dikesampingkan. Teater komuniti dapat meningkatkan kerjasama dalam produksi teater melalui penguraian masalah di antara anggota masyarakatnya. Teater komuniti dapat mempromosikan dan melestarikan warisan budaya setempat melalui persembahan yang mencerminkan nilai-nilai dan tradisi masyarakat setempat. Teater komuniti dapat memberikan hiburan yang bermakna dan menjadi sumber rekreasi yang mampu dinikmati oleh anggota masyarakat, disamping meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Perbezaan antara Teater Komuniti dan Teater Konvensional
Teater komuniti dan teater konvensional memiliki perbezaan signifikan dalam pendekatan, tujuan, dan struktur produksi. Teater Komuniti menekankan penglibatan secara aktif masyarakat dalam semua aspek produksi dan persembahan. Ini meliputi soal pemilihan tema, penulisan naskah secara bersama, dan penglibatan langsung anggota komuniti dalam berlakon atau menguruskan acara. Berbanding dengan teater konvensional yang lebih memfokus kepada aspek profesionalisme, di mana produksi dan persembahan dikendalikan oleh sekumpulan orang yang memiliki latar belakang dan latihan teater yang khusus.
Teater Komuniti bertujuan untuk menciptakan pengalaman kolektif melalui tindakbalas terhadap isu-isu sosial dan budaya yang relevan dalam masyarakat setempat. Fokusnya lebih kepada refleksi masyarakat dan penglibatan aktif dalam dialog sosial. Berbanding dengan teater konvensional yang lebih terfokus pada persembahan yang ditetapkan konsep secara artistik dan selalunya tidak berkait langsung dengan isu-isu sosial atau kehidupan sehari-hari masyarakat setempat.
Teater Komuniti mendorong kreativiti dan inovasi dari berbagai lapisan masyarakat seperti menciptakan bentuk-bentuk teater yang tidak konvensional dan eksperimental sifatnya. Manakala dalam teater konvensional, walaupun kreativiti penting, namun masih cenderung untuk mengikuti norma-norma tertentu dalam aspek format, struktur, dan gaya produksi.
Menurut JoAnne Nissen, bekas Naib Presiden MRA- The Management Association, teater Komuniti memberi ruang dan peluang kepada kumpulan amatur dan profesional untuk saling bekerjasama walaupun ada dalam kalangan anggota komuniti tersebut yang tidak memiliki latar belakang seni secara formal. Bagi teater konvensional secara kebiasannya dilaksanakan oleh team profesional yang memiliki pendidikan secara formal dan berpengalaman dalam bidang.
Tempat persembahan untuk teater komuniti boleh dilakukan di mana-mana ruang secara bebas dan sesuai berbeza dengan teater konvensional yang lebih menuntut kepada ruangan yang khusus yang dilengkapi dengan fasiliti teknikal dan ruangan khusus untuk penonton.
Rujukan
Communtiy Theatre’s Impact. American Association of Community Theatre. https://aact.org/community-theatres-impact.
Comments