ADAPTASI NOVEL KE PENTAS & PERANAN PENONTON
Proses untuk mengadaptasi novel ke teater boleh menimbulkan banyak cabaran. Pertama, dalam novel tidak ada naratif luaran; kedua, teks hanya terdiri daripada pemikiran dalaman; dan ketiga, ia merangkumi jangkauan masa yang sangat besar. Teks itu dibahagikan kepada apa yang disebut sebagai "monolog dramatik", di mana semua pemikiran setiap watak ditulis. Pembaca melompat dari satu minda watak ke minda watak seterusnya tanpa sebarang pautan panduan. Menurut Patrick Marber, dalam The Guardian, pengadaptasian adalah serupa dengan "ransacking" yang mengubah satu bentuk menjadi bentuk lain. Manakala Sally Cookson pula menyebutnya sebagai "wrestling process" (Arifa Akbar. 2020). Walau apa pun jawapannya, mengadaptasi buku-buku hebat kepada drama adalah sesuatu yang sangat berisiko. Katie Mitchell, seorang sutradara berbangsa Inggeris, ketika mengadaptasi The Waves karya Virginia Woolf turut menyatakan; “Any attempt to dramatise a famous novel is perilous.” Sebarang percubaan untuk menterjemahkan novel terkenal ke medium lain adalah mencabar kerana pembaca sudah membina gambaran watak, tempat dan peristiwa di dalam kepala mereka semasa mereka membaca novel tersebut. Justeru, sebarang gambaran kepada sesuatu yang berbeza daripada apa yang telah dibayangkan itu bakal mengecewakan. Mengadaptasi sebuah novel ke dalam bentuk persembahan teater adalah tugas yang kompleks dan memerlukan tumpuan terhadap banyak aspek yang berbeza. Oleh itu, sebarang usaha untuk mengadaptasi novel ke medium lain khususnya teater perlu mematuhi beberapa perkara seperti berikut:
1. Penulis atau sutradara perlu berusaha untuk kekal setia kepada cerita asal dalam novel. Elakkan dari mengubah plot utama atau watak secara drastik, kecuali jika ada alasan artistik yang kuat.
2. Laksanakan kajian yang mendalam tentang novel yang bakal diterjemahkan, termasuk watak, latar belakang, mesej dan pemikiran. Fahami kepentingan penceritaan dan apa yang membuatkan novel tersebut istimewa.
3. Novel biasanya mempunyai banyak pendetailan dan sub-plot yang mungkin tidak dapat dimasukkan secara langsung ke dalam pementasan teater. Maka pilihlah bahagian-bahagian yang paling penting untuk diceritakan dalam konteks teater.
4. Fokus pada perkembangan watak terutama kepada watak-watak penting yang menjadi tonggak penceritaan.
5. Dialog dalam novel biasanya agak panjang dan berjela serta agak kurang sesuai untuk persembahan teater. Pengolahan dialog perlu dilakukan tanpa menghilangkan inti cerita yang penting.
6. Teater mempunyai disiplin-disiplin tertentu yang berbeza dengan novel seperti batasan dalam soal latar atau lokasi, waktu, dan cara penyampaian cerita.
7. Novel tidak menyentuh tentang soal gaya atau genre secara jelas. Justeru dramatis dan sutradara harus mempertimbangkan gaya dan genre teater yang paling sesuai untuk menyampaikan penceritaan tersebut.
8. Apabila melakukan proses pengadaptasian,perlu berikan tumpuan kepada isu utama yang ingin diangkat dan bina aliran ceritanya dari adegan ke adegan dengan baik.
9. Jangan sesekali mengabaikan kepentingan hak cipta karya. Dramatis atau sutradara wajib memberikan kredit selayaknya kepada penulis asal novel. Fahami perbezaan pengistilahan antara adaptasi, olahan semula, karya berdasarkan idea asal. Perbezaan antara adaptasi, olahan semula, dan karya berdasarkan idea asal bergantung kepada bagaimana bahan sumber atau inspirasi tersebut diolah dan dipersembahkan. Adaptasi merujuk kepada proses mengambil karya yang telah sedia ada, seperti novel, cerita pendek, atau filem, dan mengubahnya untuk disesuaikan dengan format dan keperluan teater. Sumber asal akan tetap menjadi titik fokus utama, dan sebarang usaha yang dilakukan perlu mempertahankan inti cerita dan watak yang asal. Namun sutradara dan dramatis mempunyai kebebasan untuk memberikan interpretasi kreatif terhadap kandungan sumber asal tersebut agar ia sesuai dengan keperluan teater. Manakala olahan semula mengambil inspirasi dari pelbagai sumber dan menciptakan sesuatu yang baru dengan cara yang unik. Dalam olahan semula, sutradara atau dramatis tidak terikat kepada sumber asal. Sutradara dan dramatis mempunyai kebebasan penuh untuk menciptakan sesuatu yang baru dengan menggabungkan elemen dari pelbagai sumber. Ia adalah ekspresi kreatif peribadi dari sutradara atau dramatis yang ingin menghasilkan sesuatu yang baru dan original. Karya berdasarkan idea asal pula merujuk kepada produksi yang original milik dramatis atau sutradara dan tiada kaitan sama sekali dengan sumber-sumber lain. Keseluruhan konsep, penceritaan, watak, dan elemen persembahan adalah hasil kreativiti langsung dari sutradara dan dramatis.
Bagi penonton yang bercadang untuk menonton pementasan teater adaptasi, mereka perlu memahami konsep adaptasi ini dan perlu membuat persediaan tersendiri agar tontonannya nanti bakal menjadi satu pengalaman yang memuaskan. Sebaiknya jika berpeluang, penonton perlu membaca novel yang asal sebelum datang menonton teaternya. Ini akan membantu penonton untuk mendapatkan gambaran yang lebih mendalam tentang cerita, watak, dan pemikiran yang difokuskan. Ia juga dapat membantu penonton untuk lebih memahami perbezaan antara novel dan adaptasi novel. Penonton perlu memahami bahawa apa yang dipaparkan di atas panggung adalah satu pilihan yang khusus daripada begitu banyak pilihan yang ada dalam novel. Penonton juga perlu membaca sinopsis novel dan sinopsis berkaitan pementasan teater yang bakal dipersembahkan. Ia akan membantu untuk mendapatkan gambaran umum tentang cerita dan apa yang dapat diharapkan oleh penonton nanti. Kenali juga siapa sutradara, dramatis, dan ahli produksi lainnya untuk mendapatkan gambaran tambahan tentang visi dan pandangan mereka terhadap adaptasi novel tersebut. Penonton juga perlu meletakkan pemahaman dalam diri dan menerima bahawa medium teater berbeza dengan novel. Ia melibatkan soal batasan-batasan seperti lokasi/latar, waktu, dan cara penyampaian cerita. Penonton juga perlulah bersikap terbuka terhadap interpretasi kreatif sang sutradara. Sepanjang tempoh persembahan, penonton hendaklah memberikan fokus sepenuhnya kepada persembahan dan jangan sesekali membandingkannya dengan novel asal. Penonton perlu bersikap terbuka terhadap emosi dan mesej yang ingin disampaikan dalam persembahan tersebut. Pementasan teater membawakan satu nuansa dan interpretasi yang berbeza dengan novel, dan ia dapat memberikan satu pengalaman yang menarik dan berbeza.
Akhir sekali, setelah selesai persembahan, sewajarnya diadakan satu sesi diskusi khusus mengenai persembahan tersebut. Ia bukan pementasan teater yang biasa tetapi teater yang diadaptasikan. Dua medium yang sama sekali berbeza, Ia sesuatu yang menarik untuk didiskusikan khususnya mengenai pemahaman terhadap kandungan novel, penumpuan fokus pilihan mesej, aturan plot yang digarap dan lain-lain. Ini memberikan peluang kepada penonton untuk berbincang dan berkongsi pandangan dengan sutradara, dramatis dan pelakon mengenai pengadaptasian novel tersebut. Ia bukan sahaja bermanfaat sebagai sidang ilmu malah ia menjadi platform dua hala terbaik kepada ahli produksi dan penonton untuk memperjelaskan pandangan masing-masing terhadap pementasan tersebut.
#stagelight
#livetheatre
#theatrelife
#theatre #stagedirector #teaterberilmu #stage
#theatreworks
#rumahlakonrm
#Persatuanteatermalaysia
#leadership
#director
#theatrefanmalaysia
#theactorschannel
#stageCraft
#Performingartinmalaysia
#nextgenstagedirectors
#theatrethreesixty
#beritateatermalaysia
#suarateaternusantara
#kakiseni
#jomteater
#teatermalaysia
#beritateater
#teatermemanusiakanmanusia
#kakiseni
#teatersenjakala
#pestateaterusm
#seniusm
#akubukanmanusiabaik
Comments