PERANAN PENULIS DRAMA

Untuk menjadi penulis drama memerlukan bakat. Tidak ada satu kaedah yang khusus untuk melahirkan seorang penulis drama yang hebat. Penulis drama boleh datang dari pelbagai latar belakang seperti pelakon, sasterawan, ahli politik, ahli perubatan hatta suri rumah. Ramai penulis terkenal dunia seperti Aeschylus adalah seorang askar, Terence seorang hamba, Shakespeare seorang pelakon, Anton Chekhov seorang doktor, Luigi Pirandello seorang guru dan Caryl Churchill seorang surirumah. Keperluan paling utama, mempunyai minda yang kreatif dan imaginatif dalam melihat kehidupan dan persekitaran disamping mempunyai ilmu dasar tentang drama dan teater. Drama adalah blueprint untuk persembahan. Dialog-dialog yang diciptakan tanpa diungkapkan oleh pelakon, latar, busana, kesan bunyi dan cahaya tanpa dicipta pereka dan dipersembahkan, tidak menjadikan naskah drama itu sempurna. Drama tidak akan selesai dalam bentuk tulisan tetapi drama akan menjadi sempurna dan lengkap apabila ia dipentaskan. Tanpa naskah drama, teater tidak akan sempurna sifatnya. In the theatre the playwright is an anomaly (Barranger. 1995). Kedudukan penulis drama dalam sebuah produksi ada ketika menjadi keutamaan dan ada ketikanya berada disamping. Hakikatnya sebuah naskah drama itu adalah hak milik sang penulis drama. Namun apabila drama itu diserahkan untuk pementasan, ia menjadi milik sutradara, pereka dan pelakon. Ketika ini kedudukan sang penulis drama bukan lagi menjadi keutamaan (Barranger. 1995); “In the harrowing process of transforming the manuscript into a living performance, the writer takes a backseat in the rehearsal hall only to emerge a success or a failure on opening night.” Seperti yang dinyatakan bahawa naskah drama adalah hak mutlak penulis drama. Namun adakalanya kita dapati berlakunya tindakan `mencabul’ atau merobah isi kandungan naskah drama oleh ahli produksi khususnya sutradara atas alasan ia kurang sesuai dan sebagainya. Hakikatnya, penulis drama memang tidak lagi berhak secara langsung ke atas naskahnya tatkala bersetuju menyerahkannya untuk dipentaskan, namun sekiranya sutradara ingin membuat perubahan terhadap kandungan naskah seperti dialog watak-watak, ia perlu meminta kebenaran secara khusus kepada penulis drama atau penerbit jika penulis drama telah meninggal dunia. Itu kita semua sedia maklum, walaupun hakikatnya ramai juga dalam kalangan kita yang kurang peduli sangat berkenaan soal hak cipta atau harta intelek ini. Performability menjadi tunjang kepada kejayaan sesebuah drama. Aristotle menyatakan bahawa plot adalah jiwa kepada sesebuah drama. Tidak kira samada plot drama itu disampaikan secara linear atau non-linear, yang paling utama ialah kesan dramatiknya yang disampaikan oleh watak-watak melalui pelakon-pelakon dengan bantuan sokongan artistik yang diciptakan oleh para perekanya. Selain itu, dialog yang diciptakan mestilah bersifat speakable, actable dan stageable. Bagaimana seharusnya dialog/bahasa dalam sebuah naskah drama? Menurut Prof Dr. Herman J. Waluyo (2002) bahasa yang diwujudkan penulis bukanlah bahasa harian ianya berbentuk bahasa indah, puitis dan berfalsafah dan ini amat perlu dalam membezakan sesebuah drama dan kehidupan sebenar, tetapi bahasa ini masih harus bersifat komunikatif. Ada satu pendekatan yang boleh dibuat ialah dengan menjemput penulis drama untuk hadir menyaksikan sesi latihan produksi. Penulis hadir bukan untuk memberikan teguran terhadap kerja sutradara atau campurtangan dalam proses penyutradaraan tersebut. Sebaliknya penulis drama hadir dan duduk diam dengan nota catatan di tangan sambil menyaksikan dan mendengar proses latihan yang dijalankan. Penulis cuba mendengar pengucapan dialog dilafazkan oleh pelakon, melihat perjalanan dan perkembangan penceritaan atau kejadian berlaku. Jika terdapat sebarang kejanggalan samada dari segi bunyi olahan pengucapan dialog-dialog oleh pelakon yang dirasakan janggal atau mungkin kepelikan pada hubungan rantaian aksi atau adegan yang dipaparkan atau apa juga kesulitan dihadapi oleh sutradara untuk menterjemahkan isi kandungan dan pemahaman naskah ke pentas, penulis drama itu boleh terus berbincang dengan sutradara untuk membuat olahan atau penambahbaikan terhadap isi kandungan naskah dramanya. Hanya penulis drama yang berhak untuk menentukan perubahan kepada isi kandungan drama yang ditulisnya. Lagipun ketika penulis menulis dramanya, imaginasi dan bayangan penceritaan dan dialog itu bermain dalam kepalanya sahaja. Maka apabila drama tersebut diaplikasikan ke atas pentas melalui pengucapan oleh pelakon-pelakon, akan terujilah tahap keberkesanan dan praktikaliti drama tersebut. #stagelight #livetheatre #theatrelife #theatre #stagedirector #teaterberilmu #stage #theatreworks #rumahlakonrm #Persatuanteatermalaysia #leadership #director #theatrefanmalaysia #theactorschannel #stageCraft #Performingartinmalaysia #nextgenstagedirectors #theatrethreesixty #beritateatermalaysia #suarateaternusantara #kakiseni #jomteater #teatermalaysia #beritateater #teatermemanusiakanmanusia #kakiseni

Comments

Popular Posts